fbpx

Permintaan hartanah dijangka kekal sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri, Sulaiman; Pengarah Urusan Perbankan Runcit AmBank Group, Aaron Loo Boon Seng; Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei dan Azmir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sime Darby Property Berhad kekal optimis dengan prospek industri hartanah domestik, meskipun menjangkakan akan ada kenaikan dalam kos pinjaman perumahan susulan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia esok.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Azmir Merican berkata, industri telah beroleh manfaat daripada persekitaran kadar faedah yang rendah buat sekian lama dan meskipun peningkatan berlaku, ia dijangkakan pada kadar yang kompetitif.

“Saya fikir kita masih dalam suasana yang mana kadar faedah adalah sederhana dan pada harga yang baik, jadi permintaan akan kekal ada.

“Dua cabaran utama yang dihadapi industri tahun ini ialah kenaikan bahan binaan, diharap ia akan kembali stabil apabila rantaian bekalan kembali normal dan satu lagi ialah kekurangan tenaga buruh yang merupakan satu isu utama bagi kami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran inisiatif digital dan solusi pembiayaan hijau untuk pembeli hartanah menerusi memorandum persefahaman yang ditandatangani antara Sime Darby Property dan AmBank Group di sini, hari ini.

Menerusi kerjasama berkenaan, pembeli hartanah ditawarkan kaedah pembiayaan yang mampan untuk membeli rumah Sime Darby Property, selain pengalaman pelanggan lancar menerusi proses permohonan pinjaman yang dipermudahkan menggunakan platform digital AmBank.

AmBank turut menyediakan kadar pembiayaan kompetitif serendah 2.95 peratus, manakala pembeli akhir bagi produk perindustrian di Elmina Business Park ditawarkan margin of advance sehingga 200 peratus untuk perusahaan kecil dan sederhana.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Group, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, pihaknya telah melihat permintaan yang semakin meningkat bagi pembiayaan berkaitan kelestarian kerana kesedaran untuk memerangi perubahan iklum semakin meningkat.

“Penawaran pilihan pembiayaan hijau buat pelanggan melengkapkan lagi matlamat kami dalam memacu inisiatif kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI