ALOR SETAR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan ejen hartanah yang dituduh melakukan cubaan membunuh ibu tunggal dengan menikam leher mangsa dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak untuk penilaian psikiatri.
Hakim N. Priscilla Hemamalini memerintahkan demikian ke atas tertuduh, Muhammad Ilhami Badaruddin, 32, selepas membenarkan permohonan peguam, Mohd. Hakim Hamran pada prosiding pertuduhan hari ini.
Terdahulu, Mohd. Hakim memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya mempunyai masalah mental dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
“Pihak kami memohon satu perintah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah diberikan untuk tertuduh mendapatkan penilaian dan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.
“Ia berdasarkan alasan-alasan seperti berikut iaitu tertuduh sebelum tarikh dalam pertuduhan sedang mendapatkan rawatan psikiatri berkala di HSB bagi merawat masalah mental,” katanya ketika prosiding tersebut.
Katanya, tertuduh juga mengambil ubat-ubatan berkaitan penyakit itu termasuk dalam proses reman.
“Tertuduh memaklumkan dia menghidap penyakit kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) selain kadang-kadang mendengar suara-suara.
“Maka, hujahan saya adalah untuk memastikan keadilan kepada pihak-pihak terlibat dengan tertuduh perlu mempunyai tahap mental stabil untuk mengemukakan pembelaan sepanjang perbicaraan berlangsung,” jelasnya.
Terdahulu, Muhammad Ilhami yang merupakan seorang duda mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim, Priscilla.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan cubaan membunuh dengan cara menikam leher Nurul Husna Kasmani, 35, menggunakan pisau di kawasan letak kereta sebuah restoran di Titi Gajah, Kepala Batas, di sini kira-kira pukul 9.19 malam, 17 Mei lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim serta Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum pertuduhan, tertuduh dilihat bersalaman dan mencium tangan ibu bapanya yang hadir pada prosiding selain seorang lelaki dipercayai rakan baik tertuduh dilihat menangis.- KOSMO! ONLINE














