fbpx

2 juta pelancong Indonesia dijangka lawat Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raven Kumar menyampaikan cenderamata kepada Muhammad Rudi selepas majlis perasmian Ekspo Pelancongan Welcome To Johor dan Promosi Johor-Batam di Nagoya Hill, Batam, Indonesia

BATAM – Johor dijangka mampu membawa masuk kira-kira dua juta pelancong Indonesia ke Johor menerusi pelancongan kesihatan pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, ia susulan peningkatan jumlah kemasukan pelancong bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Johor.

Katanya, pengembangan pelancongan kesihatan itu yang menjadi pilihan warga republik ini khususnya penduduk Batam kerana fasiliti serta kemudahan yang berkualiti pada harga yang murah.

“Kita mempunyai banyak perkhidmatan kesihatan iaitu hospital-hospital yang menyediakan fasiliti yang baik dengan harga yang berpatutan.

“Johor akan menfokuskan pelancongan kesihatan ini kerana jarak antara Batam ke Johor juga agak dekat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Pelancaran Ekspo Pelancongan Welcome To Johor dan Promosi Johor-Batam di Nagoya Hill di sini, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Wali Kota Batam, H Muhammad Rudi.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon dan Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, kerajaan Negeri bersedia menerima kemasukan pelancong yang tinggi khususnya dari Indonesia memandangkan Johor mempunyai jaringan hospitaliti yang meluas.

“Kita mempunyai satu jaringan perubatan yang kondusif dan hospital swasta kita juga kini dalam proses pembangunan yang pesat.

“Banyak hospital swasta baru dibuka di negeri ini bererti selain kita boleh jaga kesihatan rakyat bangsa Johor, kita juga berkemampuan menerima pesakit atau pun mereka daripada luar untuk jaga kesihatan mereka,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diperolehi, setiap mereka yang masuk ke Johor untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan membabitkan perbelanjaan kira-kira RM32,000.

“Sekiranya 10,000 pelancong yang masuk berbelanja sebanyak itu, ia akan membawa satu pendapatan lumayan kepada negeri kita,” katanya.

Indonesia menjadi pasaran kedua terbesar selepas Singapura yang menyumbang kepada kemasukan pelancong bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang disediakan di lebih 20 hospital termasuk awam dan swasta di Johor.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI