fbpx

Siasatan tidak berat sebelah tapi lindung Bella – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-12 menegaskan bahawa bukan tugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyiasat dakwaan remaja Sindrom Down dikenali Bella terkena air panas, tetapi lebih kepada melindungi dan menyelamatkan remaja berkenaan.

Dalam prosiding sebelah petang hari ini, Penolong Pegawai JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, turut menafikan dia gagal menjalankan tugasnya sebagai pegawai pelindung kepada Bella apabila tidak menyiasat mengenai dakwaan Siti Bainun bahawa Bella cedera akibat terkena air panas dari pemanas air (water boiler).

“Pada 1 Julai 2021, saya telah membuat permohonan untuk membatalkan perintah jagaan tetap yang telah diberikan kepada Siti Bainun. Dalam tempoh itu juga saya telah menemu bual Zuriayanti, Shira, Haiza dan Suhana dan kanak-kanak (Bella) juga telah diselamatkan.

“Keterangan mengenai water boiler tidak perlu bagi saya sebab kanak-kanak dah diselamatkan dan telah ditempatkan semula di Taman Sinar Harapan. Siasatan saya lebih menjurus kepada untuk menyelamatkan mangsa dan bukannya mengetahui punca kecederaan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika pemeriksaan balas oleh seorang lagi peguam Siti Bainun, Asiah Abd. Jalil, Mohamad Imran menafikan membocorkan gambar menunjukkan kecederaan Bella kepada orang awam.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI