fbpx
Amelia menafikan dia melanggar kontrak dan menganggap semua tuduhan tersebut adalah tidak berasas.

Amelia Henderson nafi langgar kontrak A. Aida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – “Saya faham kontrak dan saya tidak langgar.”

Demikian penegasan dalam video yang dimuat naik pelakon Amelia Henderson atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson sekali gus menafikan dakwaan penerbit, Datuk A. Aida dirinya melanggar kontrak penggambaran sebuah drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

Menerusi video yang dikongsi dalam Instagram berdurasi lebih lapan minit tersebut, Amelia, 27, turut memberitahu bahawa tuduhan yang dilemparkan terhadapnya oleh individu terbabit adalah tidak benar sama sekali.

“Tanpa prejudis kepada hak, saya ingin menyatakan yang tuduhan-tuduhan dilemparkan terhadap saya adalah sama sekali tidak berasas dan tidak benar.

“Saya terkejut sebab saya percaya perkara ini boleh diselesaikan secara tertutup tanpa melibatkan media ataupun audiens. I understand the contract but I did not breach it (saya faham kontrak dan saya tidak melanggarnya),” kata pelakon filem J2: J Retribusi itu.

Dalam video yang dikongsi, Amelia turut memberi penjelasan tentang rentetan atau kronologi produksi drama berkenaan yang ditangguh atau tidak mengikut jadual tarikh sebetulnya seperti dijanjikan pihak terlibat.

“Kita tandatangan kontrak pada Februari dan sepatutnya (penggambaran) berlaku pada 20 Mei hingga 17 Ogos. Apabila ‘sign’ kontrak, saya belum dapat skrip penuh atau sebarang tarikh muktamad.

“Pada Mei, penggambaran belum mula lagi, skrip belum dapat dan kita semua tertunggu-tunggu bila kita boleh mulakan produksi ini disebabkan penangguhan skrip.

“Sungguhpun begitu, disebabkan saya dah buat keputusan untuk tandatangan kontrak ini, saya bersedia untuk memberikan kerjasama dan komitmen yang sepenuhnya,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Amelia lagi, tidak berlaku pembacaan skrip seperti sewajarnya dan watak yang dijanjikan dalam kontrak tidaklah seperti yang digambarkannya.

“Saya diberitahu watak dipegang adalah tentang wanita yang kuat namun apabila terima skrip sebaliknya yang berlaku. Jalan cerita drama tersebut membuatkan saya tertekan dan risau.

“Tanggungjawab saya adalah untuk memberikan teladan baik kepada penonton. Bagaimanapun, apabila baca skrip, bertentangan dengan prinsip dan saya tak boleh menerimanya. Lebih teruk, tak sama seperti apa yang digambarkan pada awalnya.

“Sebagai seorang wanita, saya tak boleh menjiwai watak ini dan bukanlah apa yang telah saya persetujui. Begitu juga dengan tarikh-tarikh diberikan dan juga banyak isu lain yang saya tak boleh rangkumkan dalam video ini.

“Apabila saya diletakkan dalam satu posisi yang saya kena melakukan karakter yang secara asasnya akan merosakkan audiens atau ajar audiens di luar sana, atau buat mereka fikir sesuatu yang saya tak sokong, itu bukanlah sesuatu yang saya boleh buat,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan A. Aida menyifatkan tindakan Amelia Henderson dan seorang lagi pelakon, Idris Khan menarik diri pada saat akhir dari penggambaran drama terbitannya sebagai sangat tidak profesional dan mengarut.

Aida berkata, dia akan mengambil tindakan tegas memfailkan saman terhadap mereka kerana melanggar kontrak penggambaran drama terbitan A Aida Production berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali dengan menarik diri pada saat-saat akhir. – KOSMO! ONLINE

POPULAR