fbpx

Samirah bebas tuduhan bunuh Nazrin Hassan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Samirah.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskan balu kepada Allahyarham Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar dan dua orang remaja daripada tuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund itu dalam kejadian empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap ketiga-ketiga tertuduh.

Dalam penghakimannya, Ab. Karim berkata, tiada bukti yang menunjukkan kebersamaan ketiga-tiga tertuduh bersama si mati seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Hakim itu dalam alasan penghakimannya turut menyatakan bahawa kewujudan orang ter­akhir dalam kes ini mestilah mempunyai kesinambungan kepada Samirah dan dua remaja dengan jenayah ini.

“Dalam kes ini, tidak ada sebarang keterangan langsung yang menunjukkan ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan ini serta tidak ada kesinambungan antara masa-masa kejadian dengan ketiga-tiga mereka.

“Dengan itu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan hanya mengandaikan sahaja kebersamaan terakhir si mati dengan tertuduh dan dua kanak-kanak itu pada masa-masa yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Mengandaikan sahaja adalah satu syak wasangka, ia bukanlah satu keterangan pembuktian sebenar. Oleh itu, mahkamah mendapati bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan teori orang terakhir bersama si mati,” katanya ketika membacakan penghakiman di sini semalam.

Dalam pada itu, penghakiman turut menjelaskan masa kejadian adalah bertentangan dengan ke­terangan saksi pendakwaan dan tidak tegas serta tidak meyakinkan mahkamah.

“Oleh itu, pihak pendakwaan gagal menunjukkan kematian mangsa antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018, “ kata hakim itu.

Berhubung dengan isu petrol yang mana wujud tong yang berisi cecair di rumah si mati, mahkamah mendapati tiada kaitan tong itu dengan tertuduh-tertuduh, malah ahli kimia (tong petrol) tidak pernah dipanggil memberi keterangan.

Sebelum ini pada 7 April lalu, mahkamah telah selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak di akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan, seramai 57 saksi pendakwaan dipanggil pada prosiding bicara peringkat pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Samirah bersama dua lagi remaja yang kini berusia 16 dan 19 tahun serta seorang yang masih bebas iaitu warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari didakwa dengan niat bersama-sama melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian Nazrin, 45.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun hingga 4 pagi pada 14 Jun 2018.

Perbicaraan bermula pada 6 September 2019 dan berakhir pada 22 April tahun ini.

Dalam hujahan pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail berkata, kenyataan saksi pendakwaan ke-50 (SP50), Pakar Forensik Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Prashant Sanberker mengenai teori stage of crime bukan kete­rangan asas semata-mata.

Katanya, pihak pendakwaan berhujah berdasarkan pe­nemuan dua bentuk berbeza di belakang badan si mati iaitu postmorterm hypostasis.

Selain Tengku Intan Suraya, pihak pendakwaan turut diwakili Mohd. Asnawi Abu Hanipah dan Nur Sabrina Zubairi.

Namun, hujahan pembelaan menerusi peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah me­negaskan, apa yang dinyatakan Dr. Prashant sebaliknya hanya pengulangan dalam bukti daripada beliau yang mayat dialih kerana hypostasis dan rigor mortis.

Kosmo! pada 5 Mac 2019 me­laporkan tiga individu terma­suk balu Nazrin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI