fbpx

Mahkamah: Keputusan rayuan pendakwaan kes bunuh Cradle Fund ditangguh tarikh lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Nazrin

PUTRAJAYA – Rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan akan diketahui pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Sekiranya keputusan memihak kepada pendakwaan, Samirah dan dua remaja terbabit perlu kembali ke mahkamah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut. Bagaimanapun jika keputusan sebaliknya, Samirah dan dua remaja itu kekal lepas dan dibebaskan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan untuk tarikh keputusan diketahui kemudian selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat.

“Terdapat banyak dokumen yang perlu diteliti, jadi tarikh keputusan akan ditetapkan selepas kami bersedia. Tetapi ia (tarikh keputusan) tidak lama,” katanya yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Hakim Datuk Azhahari Kamal.

Pada tarikh keputusan yang akan ditetapkan kemudian juga, panel tiga hakim itu akan membuat keputusan terhadap rayuan yang dikemukakan oleh Samirah dan dua remaja terbabit yang masing-masing kini berusia 21 dan 18 tahun bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin “dilakukan dengan sengaja”.

Untuk info perbicaraan kes bunuh itu bermula pada 6 September 2019. Pada 14 Februari 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr Abdul Aziz, Dr. Malek Reedzwan serta Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki dan Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng .

Terdahulu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam penggulungan hujahannya menyatakan, penemuan percikan darah pada dinding di atas kepala katil adalah sesuatu yang pelik dan boleh dianggap `telah diletakkan’ di tempat tersebut.

“Daripada beberapa percikan, hanya tiga sahaja yang dikatakan mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA) Nazrin yang mana dua daripadanya adalah diragui. Salah satu daripadanya mempunyai campuran DNA Nazrin dan individu yang tidak dikenali. DNA individu tidak dikenali itu tidak sepadan dengan kesemua tertuduh,”ujar Muhammad Shafee.

Tambahnya, berdasarkan keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah, adalah jelas kematian Nazrin adalah sesuatu yang tidak disengajakan dan bukannya satu pembunuhan.

Sehubungan itu, peguam terbabit memohon agar Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan melepaskan dan membebaskan ketiga-tiga anak guamnya.

Mengikut pertuduhan, Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga pukul 4 pagi 14 Jun 2018.

Pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan ketiga-tiga responden selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 48, dan dua remaja berusia 18 dan 21 tahun berkenaan.

Kemudian pada 23 Jun 2022, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh Nazrin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI