fbpx

Percikan darah pada dinding sepadan DNA Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Samirah ketika hadir di Mahkamah Rayuan hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan hari ini memberitahu percikan darah (blood spatter) pada dinding bilik yang terbakar di mana lokasi mayat Nazrin Hassan ditemukan adalah berpadanan dengan asid deoksiribonukleik (DNA) Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund berkenaan.

Semasa berhujah, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari mengatakan pegawai forensik mengkaji percikan darah Bukit Aman, Asisten Superintenden, Mohd. Nizam Husain (saksi pendakwaan ke-39) telah mengesahkan kesan darah yang dijumpai di dinding tempat kejadian adalah konsisten dengan kesan terkena objek tumpul dan bukan kesan tembakan mahupun letupan.

“SP39 turut mengesahkan bahawa kesan darah yang terjadi pada dinding adalah sebelum kebakaran kerana ia wujud di sebalik jelaga kebakaran. Berdasarkan keterangan SP39, adalah jelas menunjukkan bahawa saksi ini adalah saksi pakar dan mempunyai pengalaman yang luas dan membuat pemerhatian berkenaan ‘blood spatter’ di tempat kejadian,” katanya.

Menurut Mohd. Amril, bagi menguatkan lagi keterangan SP39, 15 butir putik kapas mengandungi sampel ‘blood spatter’ yang diambil dari tempat kejadian telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa.

“Selepas dianalisis, SP43 iaitu Ahli Kimia, Jabatan Kimia Malaysia S.Jayasilan mengesahkan bahawa terdapat tiga putik kapas yang berpadanan dengan profil DNA si mati (Nazrin). Ini turut menguatkan teori perayu (pendakwaan) bahawa mayat si mati telah dialihkan,” katanya.

Dalam prosiding terdahulu, pihak pendakwaan pernah berhujah, tiada mana-mana saksi yang benar-benar dapat memastikan telah berlaku letupan sehingga menyebabkan kematian Nazrin.

Selain itu, kesan kecederaan pada mayat mangsa juga tidak menunjukkan kecederaan selari dengan dakwaan berlakunya letupan.

Menurut pihak pendakwaan, Mohd. Nizam sendiri mengesahkan bahawa kesan darah yang dijumpai di dinding tempat kejadian adalah konsisten dengan kesan terkena objek tumpul dan bukan kesan tembakan mahupun letupan.

“SP39 turut mengesahkan bahawa kesan darah yang terjadi pada dinding adalah sebelum kebakaran kerana ia wujud di sebalik jelaga kebakaran,” kata pendakwaan lagi.

Perbicaraan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli bersambung lagi pada 23 Oktober ini.

Mengikut pertuduhan, Samirah Muzaffar, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga pukul 4 pagi 14 Jun 2018.

Pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan ketiga-tiga responden selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 48, dan dua remaja berusia 18 dan 21 tahun berkenaan.

Kemudian pada 23 Jun 2022, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh Nazrin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI