fbpx

Teori Samirah, 2 remaja andaian pendakwaan semata-mata – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Samirah( kanan) ketika hadir di Mahkamah Rayuan, hari ini. Foto FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA – Pihak pembelaan hari ini berhujah di Mahkamah Rayuan, di sini bahawa tiada bukti jelas teori ‘last seen’ (dilihat terakhir) yang mengaitkan Samirah Muzaffar dan dua remaja terhadap pembunuhan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan.

Peguam Rahmat Mohamed Hazlan yang mewakili Samirah dan dua remaja itu selaku responden itu berkata, ini kerana berdasarkan rakaman kenyataan ketiga-tiga mereka yang telah direkodkan berkali-kali termasuk dua responden ketika itu di bawah umur menunjukkan kenyataan mereka adalah konsisten.

“Dalam kenyataan pertama bertarikh 17 Jun 2018, Samirah menyatakan ketika berada di rumah, jirannya datang untuk memaklumkan bahawa asap keluar dari tingkap bilik tidur di tingkat atas rumahnya.

“Samirah kemudian berlari ke tingkat atas dan cuba membuka pintu bilik tetapi tidak berjaya. Susulan itu, anak guam (Samirah) meminta bantuan daripada pengawal keselamatan kawasan perumahan,” katanya.

Mengulas lanjut dalam hujahannya itu, teori pihak pendakwaan yang bergantung kepada teori ketiga-tiga responden ‘last seen’ bersama Nazrin adalah berdasarkan andaian semata-mata dan tidak dapat dibuktikan.

“Teori pendakwaan adalah tertuduh (anak guam) adalah orang terakhir yang dilihat dengan Nazrin. Tanggungjawab kemudian beralih kepada mereka (pendakwaan) untuk memberi penjelasan bagi membuktikan bahawa tertuduh-tertuduh bertanggungjawab terhadap pelakuan jenayah yang didakwa terhadap mereka,” kata peguam itu lagi.

Prosiding di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli bersambung lagi pada 19 September ini dengan pihak pendakwaan akan membalas hujahan responden.

Semalam, pihak pendakwaan selaku perayu berhujah bahawa fakta Samirah dan dua remaja merupakan individu terakhir dilihat bersama Nazrin mampu memberikan inferens bahawa mereka bertanggungjawab atas kematian lelaki itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim berkata, tiada sebarang keterangan dikemukakan bagi menunjukkan terdapat orang lain berada bersama Nazrin sebelum berlaku kejadian kebakaran yang didakwa meragut nyawa lelaki berkenaan.

Selain itu, pihak pendakwaan turut berhujah, Nazrin didakwa ada berhasrat menceraikan Samirah sebelum kejadian berkenaan.

Ini kerana rakan baik Nazrin, Eliza Elias, diberitahu mengenai masalah perkahwinan pasangan berkenaan dan hasrat CEO syarikat terbabit.

Mengikut pertuduhan, Samirah, 48, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga pukul 4 pagi 14 Jun 2018.

Pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan ketiga-tiga responden selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah dan remaja berusia 18 serta 21 tahun berkenaan.

Kemudian pada 23 Jun 2022, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh Nazrin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI