fbpx
ANGGOTA bomba sedang melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa yang kakinya tersepit pada pintu lif di Pangsapuri Desa Pinang 2, Jelutong di sini malam tadi. IHSAN BOMBA

Tahan sakit setengah jam kaki tersepit pintu lif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir setengah jam apabila kedua-dua belah pergelangan kakinya tersepit pada pintu lif di Pangsapuri Desa Pinang 2, Jelutong di sini malam semalam.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 55 tahun dikatakan berada seorang diri di dalam lif tingkat bawah blok perumahan terbabit.

Lif tersebut dikatakan bergerak sendiri sebelum mangsa menekan butang tutup.

Difahamkan, kejadian disedari orang awam yang sedang menunggu lif di aras bawah lalu ternampak kedua-dua pergelangan kaki mangsa dalam keadaan tersepit bahagian atas celah pintu lif.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’ Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat menyelamat pada pukul 11.42 malam dan tiba di lokasi kejadian kurang lima minit kemudian.

Menurutnya, sebaik sampai di tempat kejadian mendapati keadaan kaki mangsa masih dalam keadaan tersepit antara lif tingkat bawah dan satu.

“Tindakan anggota adalah dengan membuka pintu lif dengan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian.

“Mangsa seorang lelaki berketurunan Cina akhirnya berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat kurang 15 minit kemudian dan diberi rawatan awal oleh anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Mangsa ditemui dalam keadaan stabil dan dia dilaporkan mengalami kecederaan luka pada kedua-dua pergelangan kaki. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Beliau memberitahu, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 12.19 malam tadi. KOSMO! ONLINE.

POPULAR