fbpx

Polis masih siasat motif wanita dibunuh, bakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mayat dipercayai wanita yang disyaki dibunuh dan dibakar di tepi sungai dekat Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar pada 31 Mei lalu.

IPOH – Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif utama kes pembunuhan kejam seorang wanita yang ditemui terbakar di tepi sungai di Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar hujung bulan lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti berkaitan termasuk membabitkan tangkapan terbaharu melibatkan empat lelaki, Isnin lalu.

Katanya, tangkapan ke atas suspek berusia 19 hingga 21 tahun itu menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan setakat ini seramai lima orang.

“Suspek pertama iaitu teman lelaki mangsa berusia 20 tahun ditahan Khamis lalu selepas kita mendapati keterangan yang diberikan agak meragukan.

“Berikutan itu, kita juga menahan empat lagi lelaki yang merupakan rakan suspek di sekitar Kuala Kangsar untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pada program penyampaian kerusi roda oleh Jamco 4X4 Accessories Outdoor Center Sdn. Bhd. di pejabat Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, permohonan sambung reman akan dibuat terhadap teman lelaki mangsa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar selepas reman pertama selama tujuh hari berakhir esok.

Katanya, reman terhadap empat suspek yang disyaki bersubahat dalam kejadian itu selama tujuh hari bermula Selasa lalu hingga Isnin depan.

“Buat masa ini, tiada tangkapan baharu. Kesemua tangkapan masih direman. Kita sedang mengenal pasti punca mangsa dibunuh selain merampas telefon bimbit suspek untuk siasatan,” katanya.

Media pada 31 Mei lalu melaporkan, mayat seorang wanita dijumpai orang awam pada pukul 3.05 petang dalam keadaan terbakar di tepi sungai dekat Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar dengan kesan luka di kepala dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI