PETALING JAYA – Ingin motosikal lebih laju dan kelihatan cantik menyebabkan fenomena penggunaan ‘tayar sotong’ atau roda bersaiz kecil yang pernah popular 12 tahun lalu kini kembali menjadi trend dalam kalangan peminat kenderaan tersebut.
Tayar tersebut tidak menepati tahap piawaian keselamatan buat penunggang motosikal kerana saiznya yang kecil iaitu 175 milimeter (mm) lebar atau lebih kecil berbanding saiz standard iaitu 250 mm sekali gus mengundang risiko kemalangan.
Bekas pelumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid berkata, tayar sotong digunakan untuk tujuan sukan ‘sprint test’ dan bukannya digunakan di atas jalan raya.
Katanya, walaupun ada dakwaan mengatakan ia dapat menambah kelajuan motosikal antara 10 hingga 15 kilometer sejam, namun risiko yang bakal dihadapi lebih besar berbanding manfaatnya.
“Terus terang saya katakan, saya risau dan khuatir melihat trend penggunaan tayar jenis ini yang kembali menjadi trend buat penunggang motosikal.
“Ia sebenarnya digunakan hanya untuk ‘sprint test’ di jalan lurus sahaja. ‘Tayar sotong’ tidak selamat digunakan di jalan raya terutama ketika mengambil selekoh kerana ia mudah tergelincir dan mengakibatkan penunggangnya tercampak,” katanya yang masih aktif dalam bidang permotoran.
Menurut Wazi, antara keburukan menggunakan ‘tayar sotong’ ialah ia kurang cengkaman dan memberi kesan kepada kestabilan sekali gus mengundang risiko kemalangan.
Tambahnya, tayar merupakan penghubung antara kenderaan dengan jalan yang berfungsi untuk menyerap serta menolak hentakan.
“Oleh itu, tayar kecil memang tidak dapat melaksanakan fungsi tersebut sepenuhnya ketika terlanggar lopak atau batu. Elakkan daripada menggunakan tayar jenis ini demi keselamatan,” katanya.
Ujar Wazi, amat mengerikan melihat penunggang motosikal menggunakan tayar jenis itu ketika masing-masing bergegas ke tempat kerja pada waktu pagi dalam keadaan cuaca tak menentu dan jalan sesak.
“Rata-rata penunggang yang menggunakan tayar sotong mengatakan ingin motosikal mereka kelihatan cantik tetapi ini tidak betul. Penjual pula seharusnya berhenti guna alasan hendak ‘sprint test’ tetapi buat tak tahu atau cuci tangan jika ia disalahgunakan,” katanya.
Sementara itu, pakar kejuruteraan dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, Dr. Nurin Wahidah Mohd. Zulkifli berkata, penggunaan ‘tayar sotong’ yang berisiko menyebabkan kemalangan berkait dengan teori dinamik.
Kata beliau, menurut teori dinamik jumlah permukaan tayar yang bersentuhan dengan jalan raya untuk tayar yang kecil saiz akan berkurangan berbanding tayar standard.
Justeru, kata beliau, daya tarikan antara permukaan tayar dan jalan raya juga akan berkurangan menjadikan motor bertayar ‘sotong’ lebih pantas di jalan lurus.
“Bagaimanapun, disebabkan faktor ini juga, motor sebegini akan mudah tergelincir ketika mengambil selekoh dan membahayakan penunggang berbanding motor yang tidak diubah suai,” katanya.















