fbpx

Pemandu lori cuba seludup lebih 1 tan diesel dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk menyeludup lebih satu tan diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Padang Enggang, Kota Bharu semalam. FOTO IHSAN KPDNHEP

KOTA BHARU – Taktik seorang penyeludup yang mengubah suai tangki diesel lori untuk menyeludup lebih satu tan bahan api itu gagal apabila dia dicekup di sebuah stesen minyak di Jalan Padang Enggang, Pasir Hor di sini semalam.

Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor yang menjalankan operasi di kawasan tersebut kira-kira pukul 11 malam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, selepas menjalankan risikan, sebuah lori jenis Volvo didapati mengisi diesel melebihi kuantiti secara berulang kali di stesen minyak berkenaan.

Menurutnya, anggota bertugas telah menahan lelaki itu dan pemeriksaan lanjut mendapati, sebanyak 372 liter diesel telah diisi di dalam tangki lori tersebut.

“Selepas menjalankan pemeriksaan, kita dapati ada sebuah tangki tambahan telah diubah suai pada lori itu yang berisi 650 liter diesel. Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM2,197.30

“Suspek dipercayai mengubah suai tangki lori berkapasiti besar sekali gus dapat mengisi diesel di beberapa buah stesen minyak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Aswadi, siasatan mendapati, kesemua diesel itu dipercayai akan diseludup dan dijual kepada pemborong di negara jiran melalui pengkalan haram di negeri ini.

Katanya, kesemua diesel termasuk lori bernilai RM40,000 itu telah dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam perkembangan sama, menurut Aswadi, KPDNHEP berjaya mengekang kegiatan penyeludupan petrol dan diesel bernilai RM72,146.50 daripada terlepas ke negara jiran bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI