fbpx

Indonesia gesa penubuhan segera dana global persediaan pandemik masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Jawa Barat menunggu giliran melakukan ujian Covid-19 ketika gelombang kedua pandemik pada Jun 2021. - AFP

JAKARTA – Indonesia menyasarkan untuk memuktamadkan dana global persediaan pandemik masa depan menjelang mesyuarat menteri kesihatan negara-negara Kumpulan 20 (G20) akhir bulan ini, lapor akhbar Arab News, kelmarin.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia, Siti Nadia Tarmizi, republik itu selaku pengerusi G20  tahun ini telah mendesak penubuhan dana perantara kewangan (FIF) yang bertujuan untuk menangani jurang pembiayaan bagi persediaan, pencegahan dan tindakan wabak.

Negara-negara G20 juga telah bersetuju secara sementara untuk menubuhkan dana bernilai berbilion dolar pada April lalu.

Pemerintah Indonesia berkata, negara itu menyasarkan untuk memuktamadkan butiran sebelum mesyuarat menteri kesihatan G20 yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 21 Jun.

“Mengenai perbincangan berkaitan sektor kesihatan, kami berharap dapat mencapai persetujuan dan akan ada perbincangan lain mengenai aspek teknikal.

“Kami berharap dengan berlangsungnya sidang kemuncak pemimpin G20 pada November akan datang, akan ada persetujuan keseluruhan,” kata Siti Nadia.

Tambah beliau, perbincangan menjelang mesyuarat peringkat menteri kesihatan akhir bulan ini akan membincangkan skop dan mekanisme untuk dana global itu.

“Matlamat utama kami adalah untuk mengukuhkan seni bina kesihatan global,” tambahnya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Bank Dunia menganggarkan bahawa jurang pembiayaan tahunan untuk kesediaan wabak adalah kira-kira AS$10 bilion (RM43.9 bilion).

Organisasi itu memberi amaran bahawa sebarang dana ketersediaan harus dibiayai dalam tempoh lima tahun akan datang bagi mengukuhkan kapasiti negara berpendapatan rendah dan sederhana. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI