PETALING JAYA – Pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi sejak dua bulan lalu mungkin memberi kegembiraan kepada ramai pihak, namun tidak bagi sesetengah majikan yang kini berdepan dengan isu ketiadaan pekerja.
Antara yang paling terkesan adalah pengusaha bagi industri makanan dan minuman (F&B) apabila sektor berkenaan semakin tersepit untuk mendapatkan pekerja apabila ramai golongan muda lebih berminat untuk terlibat dalam ekonomi gig.
Situasi itu timbul ketika negara merekodkan kadar pengangguran seramai 671,200 orang setakat suku pertama tahun 2022 dengan kebanyakan daripada mereka merupakan graduan yang baharu menamatkan pengajian selain individu yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.
Mengulas isu berkenaan, Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, golongan majikan memang berdepan kesukaran mendapatkan pekerja kerana perlu bersaing dengan tawaran oleh sektor ekonomi gig.
Katanya, ekonomi gig dilihat menawarkan pendapatan dan fleksibiliti pekerjaan yang lebih baik kepada orang ramai.
“Kami tidak mempunyai data berapa ramai yang terlibat dalam ekonomi gig, tetapi kami percaya ramai anak muda dan mereka yang hilang pekerjaan semasa pandemik kini menyertai ekonomi gig.
“Mungkin mereka kini telah berasa selesa dalam ekonomi gig dan membuat keputusan meneruskan pekerjaan masing-masing dalam sektor itu.
“Antaranya menjadi pemandu e-hailing atau p-hailing yang menawarkan lebih pendapatan berbanding gaji minimum dan fleksibiliti waktu bekerja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohd. Effendy berkata, golongan majikan yang menyedari realiti itu wajar mengambil inisiatif dengan menawarkan gaji dan insentif yang lebih baik kepada pekerja untuk bersaing dengan tawaran yang disediakan dalam ekonomi gig.
Menurut beliau, antaranya majikan mungkin boleh menawarkan bantuan sara hidup, elaun tetap perumahan dan elaun pengangkutan sebagai tambahan kepada gaji minimum RM1,500.
Tambah beliau, majikan juga boleh menawarkan insentif bayaran berdasarkan produktiviti sebagai tambahan kepada gaji minimum kerana pendapatan dalam ekonomi gig berdasarkan produktiviti.
Kata beliau, ia adalah situasi menang-menang untuk majikan dan pekerja kerana produktiviti meningkatkan pendapatan syarikat atau sesebuah perniagaan.
“Pelaksanaan Sistem Upah Yang Dikaitkan Dengan Produktiviti (PLWS) akan memberi faedah kepada majikan dan pekerja, selain membolehkan kedua-dua pihak menikmati ganjaran yang saksama hasil peningkatan produktiviti,” katanya.
PLWS terdiri daripada komponen tetap dan komponen boleh ubah, dengan komponen tetap meliputi gaji pokok, kenaikan gaji tahunan dan bonus kontraktual, manakala komponen boleh ubah adalah berdasarkan kepada produktiviti pekerja.















