fbpx

China, Russia guna veto halang AS hukum Korea Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai menonton skrin televisyen yang memaparkan siaran berita dengan rakaman ujian peluru berpandu balistik oleh Korea Utara di stesen kereta api di Seoul pada 25 Mei lalu. - AFP

NEW YORK – China dan Russia menggunakan kuasa veto untuk membatalkan sekatan lebih ketat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  ke atas Korea Utara kelmarin sekali gus menolak usaha Amerika Syarikat (AS) untuk menghukum Pyongyang kerana melakukan ujian peluru berpandu balistik antara benua.

Resolusi itu mendapat sokongan 13 anggota Majlis Keselamatan lain, namun sesetengah sekutu AS mempersoalkan mengapa Washington meneruskan sesi pengundian sedangkan mengetahui tentang bantahan keras oleh Beijing dan Moscow.

China yang merupakan sekutu paling rapat Korea Utara dan Russia sebaliknya memilih kenyataan tanpa sebarang penguatkuasaan berhubung isu tersebut dan bukan resolusi baharu yang perlu dilaksanakan terhadap Pyongyang.

“AS tidak sepatutnya memberi tumpuan ke arah pelaksanaan sekatan secara bersendirian. Ia juga perlu menggalakkan penyelesaian politik,” kata Duta China ke PBB, Zhang Jun.

Beliau memberi amaran bahawa sekatan lebih ketat akan mendatangkan kesan kemanusiaan buruk kepada Korea Utara yang baru-baru ini mengumumkan ledakan wabak Covid-19.

“Sekatan tambahan bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan masalah tetapi akan mendatangkan lebih banyak implikasi negatif dan meningkatkan konfrontasi,” katanya.

Duta Rusia, Vassily Nebenzia menuduh AS tidak mempedulikan rayuan Korea Utara supaya Washington menghentikan aktiviti permusuhan dan mengadakan rundingan.

“AS dan Barat kelihatan buntu. Mereka tiada cara lain untuk menangani situasi krisis melainkan dengan memperkenalkan sekatan baharu,” katanya.

Pentadbiran Presiden Joe Biden telah berulang kali berkata bahawa pihaknya bersedia untuk berdialog dengan Korea Utara tanpa sebarang prasyarat.

Walaupun menawarkan rundingan, AS menyatakan, Korea Utara jelas mencabuli resolusi Majlis Keselamatan 2017 yang memperuntukkan lebih banyak hukuman jika Pyongyang membedil peluru berpandu jarak jauh.

Draf resolusi baharu oleh AS itu mencadangkan supaya import minyak tahunan Korea Utara bagi tujuan awam dikurangkan daripada empat juta tong kepada tiga juta tong. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI