fbpx

Dua pembantu kesihatan direman makan suap urus jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua suspek ketika hadir proses direman rasuah pengurusan jenazah di Mahkamah Majistret Shah Alam. - FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Dua pembantu kesihatan sebuah hospital di Selangor yang disyaki terlibat dalam komplot rasuah pengurusan jenazah direman selama lima hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek lelaki berusia 40 dan 42 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Kedua-duanya terlebih dahulu ditahan pukul 4.45 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Menurut sumber, berdasarkan siasatan awal mendapati mereka disyaki terlibat dalam rasuah bernilai RM15,000 bagi pengurusan jenazah selama empat tahun bermula 2018.

Katanya, mereka yang bertugas di bahagian forensik hospital berkenaan telah berkhidmat selama tujuh hingga sembilan tahun.

“Berdasarkan siasatan juga mendapati rasuah pengurusan jenazah dilakukan mereka hanya melibatkan jenazah orang Islam.

“Namun, pengurusan jenazah itu tidak melibatkan mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 kerana dilakukan sebelum pandemik melanda negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Jelas sumber, kedua-dua suspek juga dipercayai telah meminta dan menerima suapan sebanyak RM300 bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu.

Ujarnya, ini sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga tahun lalu.

“Setakat ini, urusan rasuah itu hanya melibatkan satu pihak yang menguruskannya. Jumlah bilangan jenazah yang telah diperdagangkan masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Ini adalah kes kedua penangkapan berkaitan rasuah pengurusan jenazah dilakukan SPRM Selangor dengan kali pertama pada 6 Oktober tahun lalu melibatkan lima petugas kesihatan.

Kelima-lima mereka itu telah didakwa di beberapa mahkamah termasuk Selangor dan Kedah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI