fbpx

Bawa masuk ayam hidup Siam tampung bekalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa pekerja Jukee Ayam sedang membersihkan ayam sebelum diedarkan ke empat buah negeri yang mengalami kekurangan bahan mentah berkenaan sejak minggu lalu.

KOTA BHARU – Bagi mengatasi krisis bekalan ayam daripada te­rus menekan pengguna sehingga terpaksa berbelanja besar, kerajaan dicadang untuk membenarkan pembekal membawa masuk ayam hidup dari Thailand.

Pemilik Jukee Ayam, Zukila Deraman berkata, sekiranya langkah itu dibenarkan, kira-kira 10,000 hingga 30,000 ekor ayam mampu diagihkan ke seluruh negara sekali gus mengimbangi eksploitasi harga bahan mentah itu yang semakin meningkat.

Menurut pembekal ayam proses terbesar di Kelantan itu, ayam dari negara jiran berkenaan lebih murah dan segar.

“Langkah itu dapat mengurangkan kuasa jualan pengusaha ladang ternakan ayam tempatan yang sebelum ini didakwa di­dominasi oleh sesetengah pihak yang memainkan peranan utama dalam kenaikan harga sejak ke­belakangan ini.

“Ayam hidup dari Thailand perlu dibawa masuk menerusi Rantau Panjang, disembelih dan diproses sendiri pengusaha tempatan dengan pematuhan syariah bagi mengelakkan was-was,” katanya ketika dihubungi ­Kosmo! semalam.

Jelasnya, langkah itu perlu dikaji dan dipertimbangkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Dalam pada itu, Zulika memaklumkan, setiap hari pihak­nya mengedarkan sebanyak 17,000 ekor ayam proses kepada pembekal di empat buah negeri yang mengalami krisis bekalan bahan mentah sejak minggu lalu.

Empat buah negeri berkenaan ialah Terengganu, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur.

“Setiap hari saya mendapat panggilan daripada pembekal di negeri berkenaan yang memerlukan ayam demi kelangsungan perniagaan.

“Disebabkan kami mempunyai lebihan, maka bekalan di­salurkan kepada mereka dengan peringatan agar tidak menjual pada harga tinggi sehingga menyusahkan pengguna,” ujarnya.

Sementara itu, di Johor Bahru, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohd. Hairul Anuar Bohro me­ngakui terdapat kekurangan bekalan di kawasan-kawasan tertentu di negeri berkenaan berikutan permintaan tinggi.

“Ada beberapa tempat yang mana permintaan terhadap ayam adalah tinggi dan menyebabkannya cepat habis, tetapi ia boleh ditangani dan terkawal.

“Bekalan ayam ini sepenuhnya di bawah Jabatan Perkhidmatan Veteriner, manakala kita akan sentiasa memantau dan memeriksa sekiranya terdapat masalah dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu katanya, KPDNHEP Johor akan menjalankan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan dan harga jualannya mengikut had ditetapkan kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI