PETALING JAYA – Orang ramai meluahkan kemarahan terhadap segelintir pengguna pengangkutan awam yang masih degil tidak mahu beratur serta memotong barisan semata-mata mahu cepat berebut masuk ke dalam tren.
Luahan itu dikongsikan mereka menerusi komen pada satu hantaran Thread Emeraazwa yang mana wanita itu memuat naik pengalaman berdepan individu memotong barisan untuk masuk ke Transit Aliran Ringan (LRT) pagi tadi.
“Kepada dua wanita yang tidak baris dan terus potong orang yang dah lama baris untuk masuk tren pagi ini dari Wangsa Maju, semoga hari ini dan hari seterusnya menjadi hari yang membawa nasib malang untuk kamu. Aci ka begitu?,” katanya pada hantaran berkenaan.
Ia mendapat pelbagai maklum balas orang ramai yang turut menggunakan pengangkutan awam termasuk ada yang berkongsi pengalaman sama.
“Selalu kena dan selalu juga (sound) tegur depan-depan. Yang ada sifat malu tu akan pergi beratur belakang. Yang urat malu dah putus masih menyelit, memang saya halang pakai tangan tak bagi dia masuk dulu,” komen Raz Rinaaa.
“Biasa kalau kena macam ni, memang saya sound je, lantak lah nak gaduh ke, nak buat muka ke,” kata Sygnonie.
“Sama macam saya tadi kat Putra Heights. Sebelum tren sampai elok beratur, tren dah nak sampai, masing-masing kena kejar zombi. Kita ni beratur elok-elok, tiba-tiba kena potong barisan macam tu je,” kata Ehhaniey. – KOSMO! ONLINE














