GEORGE TOWN – Kira-kira 10,000 pengguna di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan tidak akan terjejas bekalan air ketika kerja-kerja penyambungan akhir saluran paip melintasi Sungai Perai dilaksanakan minggu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), Datuk K. Pathmanathan berkata, kerja penyambungan saluran paip ke-3 dan terakhir (SP-RCP ke-3) itu akan dijalankan selama tiga hari, bermula Jumaat hingga Ahad.
Menurutnya, PBAPP telah memutuskan untuk menggunakan semula teknologi ‘hot tapping’ dan ‘line stopping’ bagi projek tersebut di Kampung Bagan Serai, Seberang Perai Utara.
“Teknologi ini membolehkan kerja dilakukan tanpa perlu menghenti tugas operasi paip sedia ada berdiameter 975 milimeter. Paip utama ini menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air Sungai Dua ke Bagan Lalang, Jalan Kerapu, Mak Mandin dan Sungai Dua di SPU serta ke Kawasan Perindustrian Perai di Seberang Perai Tengah (SPT).
“Sehubungan itu, kira-kira 10,000 pengguna air di kawasan-kawasan ini tidak akan mengalami gangguan bekalan air berjadual (SWSI) semasa kerja penyambungan paip dijalankan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, ini merupakan kali pertama projek penyambungan paip utama di Pulau Pinang dilaksanakan tanpa SWSI.
“Anggaran kos tambahan bagi penggunaan teknologi ‘hot tapping’ dan ‘line stopping’ untuk projek ini adalah sekitar RM600,000 berbanding RM80,000 bagi kerja penyambungan ‘biasa’ yang memerlukan SWSI.
“Walaupun penggunaan teknologi ini lebih mahal tetapi pulangannya adalah kita dapat mengelakkan SWSI yang akan menjejaskan pengguna-pengguna air, termasuk kilang-kilang yang beroperasi di Mak Mandin dan Kawasan Perindustrian Perai, dalam tempoh antara 48 hingga 72 jam,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














