PETALING JAYA – Malakoff Technical Solutions Sdn. Bhd. (MTSSB), anak syarikat milik penuh Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan TNB Repair and Maintenance Sdn. Bhd. (TNB Remaco), anak syarikat TNB Power Generation Sdn. Bhd., hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, kerjasama itu bertujuan meneroka peluang kolaborasi dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi stesen jana kuasa, serta program latihan serta pembangunan kompetensi.
“Selain itu, sinergi ini juga tertumpu kepada usaha mengenal pasti potensi pasaran MRO pihak ketiga, sekali gus membolehkan kedua-dua organisasi memanfaatkan gabungan kepakaran dan rangkaian melangkaui operasi sedia ada.
“Di bawah MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam mengenal pasti peluang MRO merentasi rangkaian stesen jana kuasa dan meneroka program latihan serta pembangunan kompetensi dalam persekitaran teknikal masing-masing,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, sebagai pengeluar kuasa bebas terbesar di Malaysia, Malakoff sentiasa mengambil pendekatan dalam pengurusan aset dan kecemerlangan teknikal, bukan sekadar untuk keuntungan jangka pendek.
“Stesen jana kuasa berprestasi tinggi adalah hasil daripada penyelenggaraan berdisiplin, tenaga kerja yang mahir dan penambahbaikan berterusan.
“Dengan menggabungkan kekuatan kami, MTSSB dan TNB Remaco berada di kedudukan strategik untuk bersama-sama merebut peluang MRO bagi stesen jana kuasa pihak ketiga.
“Ia sekali gus membuka ruang pertumbuhan baharu melangkaui operasi sedia ada kami,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














