WAN ROSDY pada Mesyuarat Ke-2 Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di Kuantan.

Pahang di landasan tepat, KDNK meningkat kepada RM71 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang berada di landasan tepat dengan terus menunjukkan prestasi ekonomi memberangsangkan apabila menyaksikan Nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi 2025 meningkat kepada RM71 bilion berbanding RM68.8 bilion pada 2024.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, negeri Pahang juga terus menerima pelaburan yang baik apabila merekodkan pelaburan komited berjumlah RM11.47 bilion (70.85 peratus) sehingga Ogos inni berbanding sasaran 16.2 bilion tahun ini.

Beliau memberitahu daripada jumlah itu, pelaburan direalisasikan yang direkodkan adalah berjumlah RM1.044 bilion.

“Dari segi kutipan hasil negeri sehingga 26 Ogos 2026 kerajaan negeri telah mencapai kutipan sebanyak RM921.72 juta iaitu 72.03 peratus daripada sasaran tahun 2026 sebanyak RM1.279 bilion.

“Prestasi ini menunjukkan kedudukan kewangan negeri yang terus kukuh dan berada pada landasan yang baik untuk mencapai sasaran hasil bagi 2026,”katanya pada Mesyuarat Ke-2 Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Mohd Sharim Md Zain yang bertanya apakah pencapaian utama kerajaan negeri Pahang bagi 2026 dari segi prestasi ekonomi, kutipan hasil negeri serta pelaksanaan agenda Pahang 1st dan sejauh manakah pencapaian tersebut memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, pelaksanaan agenda Pahang 1st telah berjaya menghasilkan impak yang signifikan terhadap pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat negeri Pahang melalui banyak kejayaan yang terhasil.

Katanya itu dapat dilihat antaranya melalui Prestasi cemerlang dalam peperiksaan apabila Pahang muncul sebagai negeri kedua terbaik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 dengan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) 4.08 mata.

Selain itu katanya, Maahad Tahfiz Turath Negeri pahang dinobatkan sebagai sekolah terbaik SPM peringkat Kebangsaan dengan gred purata sekolah (GPS) 0.60 mata manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang mencatatkan GPS 1.06 mata iaitu antara terbaik nasional.

“Bagi pencapaian STPM 2025 Pahang mencatat rekod purata nilai gred keseluruhan (PNGK) tertinggi negeri iaitu 3.09 mata yang mana Kolej Tingkatan Enam Astana Kuantan dan Kolej Tingkatan Enam Seri Lipis dinobatkan sebagai kolej tingkatan enam terbaik kebangsaan manakala SMK Jerantut menerima anugerah pusat tingkatan enam terbaik Kebangsaan,”katanya.

Sementara itu beliau berkata, pengukuhan perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini terbukti apabila negeri Pahang muncul sebagai negeri dengan tahap perpaduan tinggi di Malaysia dalam Indeks Perpaduan Malaysia dengan skor 0.817.

Ujarnya, malah fokus kepada kesejahteraan bandar dan komuniti diketengahkan apabila dua bandar di Pahang iaitu bandar Lipis dan Raub dinobatkan antara 10 bandar paling Bahagia di Malaysia bagi tahun 2026. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN