KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Honda Icon dia tunggang tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh kalbat air yang diletakkan di tepi jalan di Jan Kampung Tanjung Sabtu, Manir di sini malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 8.30 malam itu, mangsa, Mohd. Alif Yusof, 43, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Alif yang bekerja sendiri dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tanjung Sabtu dari Kampung Jeram di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda Icon ditungganginya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan.
“Motosikal itu kemudiannya merempuh sebuah kalbat air berbentuk silinder diperbuat daripada simen yang diletakkan di tepi jalan,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan Mohd. Alif sudah meninggal dunia.
Beliau berkata, mayat lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














