fbpx

Janji paling luhur Ziana, Anuar Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZIANA ZAIN dan Anuar Zain.

BAGAIKAN mimpi. Itu perkara pertama yang bermain dalam benak fikiran banyak orang, termasuk penulis selepas penyanyi adik-beradik terkenal Anuar dan Ziana Zain memutuskan untuk beradu vokal.

Bukan beradu vokal memasuki pertandingan atau yang seangkatan dengannya, tetapi bergabung suara di atas sebuah pentas mega menerusi Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur awal Ogos depan.

Mekar dalam liga mereka tersendiri, jadi tidak hairanlah usai jualan tiket dimulakan sejak Khamis lalu, semua tempat duduk menyaksikan penyanyi Anuar dan Ziana habis licin dalam tempoh tiga hari sahaja.

Tidak kisahlah berapa pun harga tiket yang ditetapkan, kalau sudah namanya peminat setia, pasti soal kewangan bukan menjadi penghalang besar asalkan dapat melihat idola mereka membuat persembahan di depan mata.

Buktinya, tidak sampai tiga jam dibuka untuk dijual, lebih daripada 50 peratus tiket berjaya dijual ibarat pisang goreng panas.

Mengakui bukanlah kali pertama berkolaboratif menerusi sebuah konsert berskala besar bersama kakaknya, Anuar menyifatkan peluang dan kepercayaan yang diberikan penganjur sebagai satu penghormatan buat mereka berdua.

SELEPAS penjualan tiket yang sudah licin diserbu peminat, tumpuan Ziana dan Anuar kini adalah memperkemaskan repertoir persembahan dan persiapan vokal bagi kelancaran konsert.

Peluang, syukur

“Bersyukur atas kepercayaan yang diberikan kepada kami. Kami mengambil peluang ini untuk bertemu dan menghiburkan peminat yang sekian lama menginginkan persembahan kami berdua.

“Konsert ini bakal menjadi momen kolaborasi indah buat saya dan kakak saya yang telah sekian lama berada di dalam industri ini,” ujarnya kepada HibGlam.

Berkongsi keterujaan menjayakan konsert berprofil tinggi tersebut, Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 52, cukup gembira apabila impian mengadakan konsert bersama kakak kesayangannya itu akhirnya menjadi kenyataan.

“Ini adalah sejarah yang cukup manis. Kali terakhir kami bergabung membuat persembahan yang sebenar adalah lebih 12 tahun lalu.

“Memang permintaan ini sudah sekian lama peminat mahukan. Namun, sekarang barulah jadi kenyataan kerana masanya cukup tepat selain kata sepakat antara kami berlaku sangat mudah,” ujarnya.

Tambah pelantun lagu hit Lelaki Itu, perancangan untuk bekerjasama dalam menjayakan konsert memang sudah lama dan bukannya setahun dua.

“Cakap bab perancangan, jujur saya katakan sudah lama ada merancang untuk menjayakan konsert tersebut.

“Aturan Allah itu yang terbaik, hari ini (Khamis lalu), akhirnya kami umumkan kepada semua, konsert ini akan berlangsung Ogos depan,” katanya.

PENYANYI adik-beradik popular, Anuar dan Ziana menyifatkan konsert yang bakal dijayakan mereka sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang sentiasa ada buat mereka.

Hadiah, kenangan manis

Diaju makna dan pengertian konsert yang bakal berlangsung kurang lebih 100 hari itu, Ziana menyifatkan Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 sebagai sebuah hadiah kepada peminat sepanjang pembabitan mereka sebagai pelaku seni.

“Konsert ini akan menjadi golden moment (peluang keemasan) dan kenangan manis, bukan sahaja buat peminat tersayang, tetapi kami dua beradik.

“Kami sangat berterima kasih kepada penganjur, Trumpet International Sdn. Bhd., yang berani mengetengahkan Anuar dan Ziana Zain dalam konsert ini pada saat dunia hiburan tempatan kita baru ingin giat semula,” katanya.

ANUAR dan Ziana mengakui tidak sabar dan teruja bakal membuat persembahan di pentas mega menerusi Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur Ogos nanti.

Paling luhur

Pelantun lagu popular Madah Berhelah itu juga benar-benar tidak sabar untuk mengabadikan konsert tersebut sebagai sebuah kenangan manis buat semua peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan muziknya.

“Pemilihan lagu yang kami buat turut mengambil kira permintaan dan suara daripada peminat.

“Memang sukar, namun apa kami bakal sajikan di pentas nanti adalah persembahan paling luhur dan moga terus diingati sampai bila-bila,” katanya.

Tambah Ziana, 54, konsert tersebut tidak akan pernah terjadi dan dapat direalisasikan seandainya tidak ada doa daripada pengikut.

“Gabungan ini juga berkat doa ramai yang selama ini impikan saya dan Anuar bergabung bersama berada di atas pentas.

“Jadi tiba masanya untuk kami tunai dan kotakan janji kami atas pengorbanan dan penghargaan buat anda semua,” katanya.

Menurut Ziana, dia dan adiknya itu bakal mempersembahkan lebih daripada 20 lagu selama 90 minit merangkumi lagu popular masing-masing serta beberapa lagu duet.

Maklumat lanjut berhubung tiket boleh dibuat menerusi laman web www.excitix.com.my atau talian 010-309 8998.

KONSERT Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur bakal menjadi kenangan terindah bukan sahaja untuk si penyanyi bahkan peminat yang mungkin baru pertama kali hendak menyaksikan ‘persandingan ‘ vokal dua beradik itu di sebuah pentas berskala mega. – Foto AFIQ RAZALI
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI