fbpx

WHO bimbang parti liar musim panas tular wabak cacar monyet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG kanak-kanak dijangkiti cacar monyet menerima rawatan di Zomea Kaka, Republik Afrika Tengah pada 18 Oktober 2018. - AFP

PARIS – Seorang pegawai kanan kesihatan Eropah memberi amaran kelmarin bahawa kes cacar monyet yang jarang berlaku akan meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang ketika virus itu merebak ke seluruh Eropah.

Pengarah serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Hans Kluge berkata, beliau bimbang penularan akan meningkat ketika orang ramai mengadakan perhimpunan, festival dan parti bagi menyambut ketibaan musim panas.

Virus yang menyebabkan bintik radang, jarang menyebabkan kematian dan sebelum ini hanya dikesan di tengah serta barat Benua Afrika.

Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lalu, kes cacar monyet dikenal pasti di sebilangan negara Eropah termasuk Britain, Portugal dan Sweden di samping Amerika Syarikat, Kanada serta Australia, kata Kluge.

“Semua kes berkenaan kecuali satu tidak melibatkan sejarah perjalanan ke kawasan yang mempunyai penyakit cacar monyet,” tambahnya.

Beliau berkata, jangkitan dijangka meningkat kerana kes dikesan sekarang melibatkan mereka yang terlibat dalam aktiviti seksual dan ramai tidak mengenali simptom cacar monyet.

Kebanyakan kes awal penyakit itu adalah dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan sejenis dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

“Ini menunjukkan penularan penyakit ini sudah berlaku untuk satu tempoh masa,” jelasnya.

WHO menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat fakta bahawa banyak kes cacar monyet melibatkan golongan gay dan biseksual.

Kenyataan Kluge itu disiarkan selepas Perancis, Belgium dan Jerman melaporkan kes pertama cacar monyet, manakala Itali kini mengesahkan terdapat tiga kes penyakit tersebut.

Tiga kes cacar monyet yang disahkan di Belgium kelmarin mempunyai kaitan dengan festival seks bebas di bandar pelabuhan Antwerp, kata penganjurnya.

Pihak berkuasa Perancis pula menyatakan bahawa virus itu telah menjangkiti seorang lelaki yang tinggal di kawasan Paris.

Di Sepanyol, pihak berkuasa kesihatannya telah melaporkan tujuh kes disahkan cacar monyet dan sedang menunggu pengesahan 23 kes lain.

Negara jirannya, Portugal mengesahkan 23 jangkitan virus itu.

Di Britain, beberapa pegawai kesihatan melaporkan 11 lagi kes disahkan cacar monyet di England, menjadikan angka jangkitan keseluruhan meningkat kepada 20 kes.

Ketua penasihat kesihatan Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA), Susan Hopkins berkata, beliau menjangkakan kes akan meningkat dalam masa beberapa hari akan datang dalam kalangan masyarakat.

Beliau juga menggesa lelaki gay dan biseksual memantau simptom cacar monyet kerana kebanyakan jangkitan di Britain dan Eropah berasal daripada golongan tersebut.

“Cacar monyet sebelum ini tidak pernah dianggap sebagai penyakit kelamin yang berjangkit,” kata UKHSA.

Cacar monyet merebak melalui sentuhan dengan luka atau calar dan cecair tubuh individu yang dijangkiti di samping perkongsian barangan seperti tuala serta cadar.

Simptom penyakit itu termasuk demam, sakit otot, bengkak kelenjar, gigil, letih dan ruam seperti bintik cacar pada tangan serta muka.

Menurut WHO pula, penyakit cacar monyet biasanya sembuh dalam masa antara dua hingga empat minggu dengan hanya kes tertentu boleh membawa maut. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI