fbpx

Risiko cacar monyet tersebar ke Malaysia rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KKM akan terus memantau perkembangan situasi cacar monyet melalui laporan WHO.

PUTRAJAYA – Risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia adalah rendah kecuali terdapat sejarah bersentuhan dengan haiwan yang dijangkiti atau kontak langsung dengan pesakit dijangkiti virus tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan situasi cacar monyet melalui laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selain pemantauan kes melalui semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

“Sehubungan itu, pengembara yang tiba di Malaysia dari kawasan terdapat jangkitan cacar monyet dan bergejala dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan tempat tersebut dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Maklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan serta elakkan daripada kontak langsung dengan individu lain termasuk mengasingkan diri selama sekurang-kurangnya 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM menasihati pengembara ke kawasan-kawasan yang terdapat kejadian cacar monyet di Afrika Tengah dan Afrika Barat dan juga negara-negara yang sedang mengalami wabak penyakit ini untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

“Langkah berwaspada itu seperti mengekalkan kebersihan diri yang tinggi, termasuk mencuci tangan dengan kerap selepas pergi ke tandas atau apabila tangan kotor.

“Elakkan daripada sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti, sama ada manusia mahupun haiwan serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh kes, seperti pakaian kotor digunakan oleh orang dijangkiti serta elakkan bersentuhan dengan haiwan liar atau memakan dagingnya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada masa ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) mempunyai kapasiti untuk menjalankan ujian pengesanan virus penyebab cacar monyet dalam kalangan manusia.

“Makmal Kesihatan Awam Veterinar serta makmal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) juga mempunyai kemampuan makmal untuk menjalankan pengujian mengesan orthopoxviruses dalam kalangan haiwan.

“KKM sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Perhilitan untuk memantau kejadian cacar monyet dalam kalangan haiwan liar, termasuk yang diimport dari Afrika dan Benua Eropah,” ujarnya.

Tambah beliau, KKM menyeru orang ramai untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala jangkitan cacar monyet agar tindakan pengasingan dapat segera dilakukan serta pengesanan dan kuarantin kontak rapat dapat dilaksanakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI