fbpx

Pembantu tadbir kerugian RM38,480 ditipu Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PORT DICKSON – Seorang pembantu tadbir kerugian RM38,480 selepas ditipu sindiket Macau Scam selepas mendakwa mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, pada Ahad lalu, mangsa wanita berusia 46 tahun telah menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri daripada syarikat penghantaran barang.

“Mangsa telah dimaklumkan terdapat bungkusan barang terlarang atas namanya tetapi mangsa menafikan perkara ini, dan dimaklumkan berkemungkinan maklumat dirinya telah disalah guna.

“Panggilan kemudian disambungkan kepada pegawai polis, ‘ASP Wong’ daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan kali ini mangsa dimaklumkan telah terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, suspek telah meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan dalam talian iaitu ‘username’ dan kata laluan bagi empat akaun banknya.

Tambah beliau, mangsa yang bimbang telah menyerahkan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) yang diterima untuk tujuan pemindahan wang kepada pegawai polis tersebut.

“Namun, mangsa mula berasa curiga apabila diminta untuk memasukkan wang dan apabila semakan dibuat, mangsa mendapati wang berjumlah RM38,480 dalam empat akaun banknya telah dipindahkan ke dalam akaun yang tidak dikenal pasti.

“Mangsa telah pun membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI