PUTRAJAYA – Penyakit vaping product use-associated lung injury atau Evali kini menjadi satu ancaman kepada kesihatan penghisap tegar rokok elektronik atau vape di negara ini kerana ia berisiko tinggi membawa maut terutama kepada mereka yang mempunyai penyakit kronik.
Pakar Klinikal Perubatan Kecemasan Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor berkata, simptom utama Evali melibatkan masalah pernafasan seperti sukar bernafas dan batuk-batuk yang teruk.
Menurutnya, seseorang itu juga boleh mengalami sakit dada, demam, muntah dan cirit-birit serta pening kepala.
“Simptom ini boleh berlanjutan dengan sangat lama sehingga kemudiannya menjadi lebih teruk dan akhirnya boleh mengakibatkan kematian,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dr. Mohd. Afiq memberitahu, di negara ini, terdapat dua kes Evali yang dikesan berlaku di Labuan dan Kuching, Sarawak pada akhir 2019 dan awal 2020.
“Selain itu, kami juga telah membuat kajian berkaitan Evali pada tahun lalu dari Januari sehingga November di PPUM.
“Kajian dinamakan Incidence of Evali among SARI Patients ini telah mendapati, insiden Evali adalah sebanyak 840 kes dalam 100,000 kes SARI (Jangkitan Pernafasan Akut Teruk).
“Dalam kajian ini, kami memperoleh tiga kes yang disahkan dan lima kes berkemungkinan menghidap Evali,” ujarnya.
Dr. Mohd. Afiq berkata, penyakit itu mula dikesan di Amerika Syarikat di antara September 2019 sehingga Februari 2020, dengan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat Evali adalah seramai 2,807 orang.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 68 orang maut dan majoriti mereka terdiri daripada golongan muda.
“Golongan yang paling berisiko menghidap Evali adalah mereka yang mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti asma, paru-paru, jantung, darah tinggi dan juga kanser,” ujarnya.
Lebih menakutkan katanya, simptom penyakit Evali menyerupai Covid-19, sekali gus menyukarkan pihaknya untuk melakukan diagnosis antara kedua-dua penyakit berkenaan.
Bagaimanapun, ujarnya, rawatan segera yang diberikan kepada pesakit boleh menyelamatkan nyawa mereka.
“Kaedah rawatan utama adalah untuk merawat terlebih dahulu simptom yang dialami mereka daripada terus melarat.
“Namun, jika pesakit itu mendapat gejala yang teruk, ia perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi dan kemungkinan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Beliau menjelaskan, Evali terjadi setelah paru-paru terdedah dengan bahan-bahan kimia berbahaya yang disedut menerusi vape.
“Keterukan Evali ini juga bergantung kepada dos dan jenis bahan yang digunakan dalam vape terutama bahan larangan yang dimasukkan selain kekerapan penggunaan produk itu,” ujarnya.
Dr. Mohd. Afiq berkata, terdapat beberapa teori saintifik berkaitan kerosakan paru-paru akibat penggunaan vape, dengan yang pertama ialah bahan kimia yang disedut menyebabkan kerosakan sel paru-paru.
Jelasnya, keadaan itu seterusnya menyumbang kepada nekrosis terhadap epitelium dan endotelium pada paru-paru yang akhirnya menjadikan organ itu mendapat diffuse alveolar hemorrhage or damage (kecederaan pada paru-paru).
Katanya lagi, teori kedua pula adalah sedutan vape yang mengandungi pelbagai bahan kimia seperti proplyene glycol, glycerin, nikotin dan sebagainya yang boleh mengubah tahap imuniti dan status keradangan pada paru-paru.
“Ia termasuklah menukar cell makrofag kepada pro-inflammatory phenotype yang akhirnya akan melepaskan lebih banyak respon keradangan cytokine.
“Bahan-bahan ini tidak diperlukan oleh paru-paru manusia, bahkan akan memberi kesan yang sangat berbahaya. Lebih banyak bahan kimia yang dicampur, lebih berisiko tinggi kerosakan yang akan berlaku pada organ penting itu,” katanya.















