fbpx

MAFI perlu sediakan pelan hadapi krisis makanan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika tiba di PWTC semasa menghadiri Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas ke-48.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyediakan pelan jangka panjang dan pendek bagi mengelak krisis makanan berlaku dalam negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kebimbangan tidak cukup bekalan makanan merupakan isu global bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Menurut beliau, keadaan ini berlaku ekoran pandemik Covid-19 yang mengekang kegiatan pertanian, sekali gus mengurangkan eksport makanan oleh negara pengeluar kerana mereka lebih mengutamakan keperluan dalam negara masing- masing.

Justeru katanya, kerajaan menggesa Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melaksanakan anjakan paradigma bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

“Kedua, Nafas perlu memberi ‘nafas’ baru kepada sektor makanan berasaskan pertanian melalui penerapan teknologi tinggi dan pendigitalan bagi meningkatkan pengeluaran makanan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

“Suka saya menarik perhatian bahawa Malaysia pada ketika ini membelanjakan lebih RM50 bilion untuk mengimport bahan makanan, manakala kerajaan pula menyalurkan subsidi sebanyak RM70 bilion bagi tahun 2022,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas ke-48 bagi tahun 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Ismail Sabri menambah, Nafas dan LPP juga perlu menghapuskan orang tengah kerana mereka inilah yang memerah keringat petani dan nelayan serta memanipulasikan harga dipasaran.

“Jihad ini perlu diteruskan oleh Nafas menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan seperti mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah-buahan, penambahan pasar tani serta pasar nelayan,”ujarnya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai penghapusan permit import (AP) bahan makanan berkuat kuasa hari ini, Ismail Sabri berkata, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi.

“Saya harap Nafas boleh ambil kesempatan ini bagi membolehkan Nafas mengimport bahan makanan dari luar antaranya menjadi pengimport ayam.

“Seluruh rantai nilai perlu dikuasai oleh pertubuhan tersebut sekali gus menamatkan sebarang ugutan golongan tertentu kepada pihak kerajaan. Kalau Nafas pengeluar ayam, Nafas boleh mohon subsidi,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI