fbpx

Dasar sifar Covid bantutkan ekonomi China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA keselamatan memakai sut perlindungan diri ketika berkawal di pintu masuk sebuah kawasan kediaman di Beijing, kelmarin. - AFP

BEIJING – Situasi semasa Covid-19 di China telah mengakibatkan kerugian ekonomi sehingga lebih 10 kali ganda berbanding tahun 2020 ketika wabak itu mula tercetus di Wuhan, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Menurut pakar ekonomi di Fakulti Pembangunan Kebangsaan Universiti Peking, Profesor Madya Xu Jianguo, dasar sifar Covid yang dilaksanakan pemerintah menjadi pemacu utama kepada kemerosotan ekonomi republik itu.

Di bawah dasar tersebut, China melaksanakan beberapa sekatan kesihatan paling tegas yang pernah dilakukan di seluruh dunia, termasuk mencatu bekalan makanan dan perintah berkurung secara total.

“Keadaan itu memberi kesan kepada aktiviti ekonomi negara ini sehingga menyebabkan kerugian sebanyak 18 trilion yuan (RM11 trilion).

“Ketika wabak Covid-19 mula tercetus di Wuhan pada 2020, ia telah menjejaskan 13 juta penduduk dan menyebabkan kerugian ekonomi sebanyak 1.7 trilion yuan (RM1.1 trilion) kepada China,” kata Jianguo dalam satu webinar.

Beijing menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.5 peratus pada tahun ini, namun Jianguo ragu-ragu sama ada negara itu mampu mampu mencapai sekurang-kurangnya 2.3 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pakar-pakar ekonomi turut merendahkan jangkaan mereka bagi KDNK tahun ini ekoran pelaksanaan perintah berkurung yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.

China, yang banyak bergantung kepada pasaran eksport, tidak dapat menjual kebanyakan produk keluaran negara itu disebabkan sekatan Covid-19.

Contohnya di Shanghai, perintah berkurung yang ketat telah menghalang kapal-kapal daripada keluar dan masuk dari pelabuhan-pelabuhan. 

Sektor hartanah juga berhenti mencatatkan perkembangan yang disebabkan oleh penurunan penilaian taraf satu daripada syarikat pemaju terbesar China, Evergrande.

Syarikat itu tidak dapat menyelesaikan pembayaran faedah kepada para pelabur asing, namun ia membayar kepada pelabur domestik di China.

Pemerintah juga dilaporkan bimbang mengenai kadar inflasi, sekali gus membuatkan syarikat kecil dan sederhana sukar mendapatkan pinjaman. Ia seterusya mengurangkan bentuk bantuan yang diberikan pemerintah terhadap syarikat-syarikat yang bergelut untuk terus bertahan ketika sekatan perintah berkurung.

“Agak sukar untuk China mencapai pertumbuhan ekonomi meskipun sekadar 2.3 peratus tahun ini. Sukar untuk melepasi kadar itu.

“Langkah terpenting bagi memulihkan keadaan ekonomi sekarang bukan terletak pada pembiayaan sosial atau isu-isu kewangan, sebaliknya kaedah pencegahan dan pengawalan Covid-19,” kata Jianguo.

Lebih 160 juta penduduk China telah dikenakan perintah berkurung bagi tahun ini, setakat ini, dengan lebih 80,000 jangkitan Covid-19 dicatatkan.

Ia dijangka melepasi bilangan kes bagi gelombang pertama wabak itu pada 2020, iaitu sebanyak 92,514, demikian menurut Jianguo. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI