fbpx

Ismail Sabri berangkat ke AS minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berangkat ke Washington, Amerika Syarikat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat pada 12 dan 13 Mei ini.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang berkenaan dengan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta pegawai-pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri juga kementerian terlibat.

“Semasa Sidang Kemuncak Khas ini, Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin ASEAN lain dijadualkan menyertai beberapa siri mesyuarat dan perbincangan dengan Presiden dan Naib Presiden Amerika Syarikat.

“Program-program lain yang diaturkan oleh pihak Amerika Syarikat termasuklah sesi-sesi bersama Kepimpinan Kongres Amerika Syarikat, beberapa anggota Kabinet Amerika Syarikat dan pemimpin perniagaan Amerika Syarikat,” katanya hari ini.

Jelas kenyataan itu, sidang berkenaan diadakan bersempena ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog ASEAN-Amerika Syarikat yang merupakan landasan strategik bagi kedua-dua entiti mengkaji serta meneroka bidang kerjasama yang pragmatik untuk memperkukuh kerjasama sedia ada.

“Sidang Kemuncak Khas ini dijangka membincangkan antara lain, isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, kerjasama ekonomi, Covid-19 dan keselamatan kesihatan, perubahan iklim dan tenaga bersih.

“Sidang berkenaan dijangka akan menghasilkan Kenyataan Visi Bersama yang menggariskan komitmen dan aspirasi untuk meningkatkan kerjasama ASEAN-Amerika Syarikat demi keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran bersama yang berterusan,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, Perdana Menteri turut dijadualkan menghadiri sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia dan berjumpa dengan diaspora Malaysia ketika berada di Washington.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI