fbpx

Kerinduan terubat di Padang Besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SULKIFLEE menunjukkan cop ketibaan di Malaysia atas pasport antarabangsanya di Kompleks ICQS Padang Besar semalam. – SYED AZLAN SAYID HIZAR

PADANG BESAR – Pengumuman kerajaan membuka semula pintu masuk antarabangsa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar semalam membawa erti yang cukup besar kepada penduduk sempadan di negeri ini.

Seorang pengembara dari Thailand, Sulkiflee Mahlee, 25, berkata, dia tidak bertemu ibunya hampir tiga tahun selepas sempadan negara ditutup akibat pandemik Covid-19.

Katanya, pembukaan semula sempadan negara semalam iaitu pada hari raya keempat lebih manis kerana berkesempatan untuk pulang bertemu ibu dan saudara-mara di Malaysia.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan mengenai pembukaan semula sempadan antarabangsa dan mendapat tahu sempadan ICQS Padang Besar dibuka hari ini (semalam) menerusi rakan-rakan.

“Selepas mengetahui sempadan akan dibuka, saya dan kakak serta suaminya terus menyediakan dokumen diperlukan pihak imigresen kedua-dua negara kerana tidak sabar mahu pulang berjumpa ibu,” katanya.

Pintu masuk antarabangsa ICQS Padang Besar dibuka se­mula semalam bermula dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam selepas ditutup pada Mac 2020.

Terdahulu, pintu masuk antarabangsa Pos Imigresen Wang Kelian turut dibuka lebih awal untuk pengembara melintasi sempadan dua negara pada 1 April lalu.

Ujar Sulkiflee, dia dan kakak­nya yang tinggal di kawasan Padang Besar (Thailand), wilayah Songkhla pulang untuk menemui ibu dan dua lagi saudara perempuannya di Kampung Melayu, Padang Besar di sini.

Katanya, bapanya merupakan warga Thailand dan berkahwin dengan ibunya yang merupakan rakyat Malaysia dan kediamannya di Thailand tidak jauh dari Kampung Melayu di sini.

“Jarak kediaman saya di Thailand dengan Kampung Melayu di Padang Besar, Thailand hanya kira-kira 10 kilometer (km) dan hanya dipisahkan dengan tembok sempadan.

“Saya hanya menaiki motosikal kira-kira 4km ke kompleks imigresen Thailand, berjalan kaki 2km ke kaunter ICQS Malaysia dan 4km lagi berjalan kaki untuk pulang bertemu ibu,” jelasnya.

Ujarnya, pembukaan sempadan Padang Besar bukan sahaja mengubati rindu kepada ibunya, malah memberi kemudahan kepada penduduk dua negara yang berkahwin campur dan tinggal di sempadan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI