fbpx
Mohd. Yusoff (kanan) semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis pada Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Ada pihak sengaja ‘test’ tahap penguatkuasaan polis sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Terdapat pihak tertentu yang dipercayai sengaja menguji tahap penguatkuasaan pihak polis di sempadan Malaysia-Thailand dengan menggunakan ‘umpan’ pelajar dan murid ke sekolah menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihak tertentu dipercayai menggunakan golongan tersebut untuk melihat sama ada polis bertindak tegas atau sebaliknya terhadap kesalahan merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram.

“Ada pihak yang cuba ‘test’ (uji) kami apabila ingin melihat tindakan polis terhadap murid dan pelajar yang menggunakan Sungai Golok. Jika kita lepaskan (murid dan pelajar), mungkin mereka akan terus melakukan kegiatan merentas sempadan tersebut atau yang lain.

“Buat masa ini, seramai 29 daripada 34 pelajar Malaysia yang ditahan sebelum ini kerana menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok, Rantau Panjang pada Ahad lalu bakal berdepan pendakwaan tidak lama lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya ketika ini dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.

“Seramai 29 pelajar yang ditahan berusia dalam lingkungan 10 tahun ke atas manakala lima lagi di bawah usia tersebut. Jadi, pelajar yang berusia 10 tahun ke atas itu berkemungkinan akan didakwa di mahkamah.

“Polis hanya membuat tangkapan dan melengkapkan siasatan. Segala pertuduhan bergantung kepada pihak pendakwa raya sama ada untuk menuduh mereka atau sebaliknya,” ujarnya.

Beliau berkata, sebelum penguatkuasaan larangan rentas sempadan dilaksanakan bermula 1 Disember 2024 lalu, lebih 500 pelajar menggunakan pangkalan haram di Rantau Panjang, Tumpat dan Jeli untuk berulang alik ke sekolah di negara ini.

Menurutnya, apabila larangan rentas sempadan dikuatkuasakan, jumlah tersebut menurun kepada kira-kira 300 orang pelajar.

“Buat masa ini, seramai lebih 100 pelajar yang masih berulang-alik dari Thailand ke sekolah di Rantau Panjang menggunakan laluan sah. 34 murid dan pelajar yang ditahan baru-baru ini merupakan sebahagian daripada 100 pelajar yang menetap di Thailand,” katanya.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seramai 34 pelajar dan murid sekolah selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah mereka.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum dibebaskan kira-kira pukul 11.30 malam kelmarin.

Menurutnya, siasatan mendapati, kesemua mereka termasuk 12 orang perempuan dikesan menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram di sini.

“Mereka merupakan warganegara Malaysia yang tinggal di Selatan Thailand, namun bersekolah di Rantau Panjang. Justeru, pihak tertentu perlu mengambil tindakan bagi menangani isu murid atau pelajar merentas Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN