fbpx

PM rasmi projek Astrum Ampang kediaman mampu miliki di ibu kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri melihat replika bangunan rumah pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi Prima Astrum Ampang di Jelatek, di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Astrum Ampang di Jalan Jelatek dekat sini pagi ini.

Astrum Ampang merupakan usaha sama antara PR1MA dan Astrum Ampang Sdn. Bhd. (Astrum Ampang) bagi membangunkan satu projek kediaman mampu milik untuk membantu golongan M40 memiliki rumah sendiri di ibu negara.

Projek berlatarkan aspirasi “Satu Keluarga, Satu Rumah” itu dijangka siap pada suku pertama tahun 2026 dan bakal memberi manfaat kepada golongan muda yang sedang membina kerjaya di ibu kota.

Ia juga merupakan sebahagian daripada sasaran penyediaan 100,000 rumah mampu milik yang dimandatkan kepada PR1MA di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ismail Sabri berkata, kerajaan memahami anak muda yang memulakan kerjaya di ibu kota sentiasa berdepan dengan isu perumahan terutama untuk memiliki kediaman selesa dan mempunyai akses pengangkutan serta kemudahan awam dalam lingkungan. berdekatan.

“Kebanyakan kediaman yang dibangunkan ketika ini di luar kemampuan mereka yang baru sahaja memulakan pekerjaan. Berdasarkan harga pasaran semasa, harga rumah semakin meningkat ditambah dengan kedudukan kewangan yang tidak kukuh, sukar untuk golongan ini memiliki rumah sendiri.

“Justeru, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membuat perancangan untuk melaksanakan pembinaan kediaman baharu berkonsepkan transit atau ‘Transit Oriented Development’ (TOD)” yang bukan sahaja memudahkan pergerakan anak muda ke tempat kerja, tetapi juga membolehkan negara mencapai sasaran mengurangkan jejak karbon menjelang tahun 2030,” katanya.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi PR1MA, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.

Astrum Ampang menawarkan sebanyak 712 kediaman mampu milik berkonsepkan SOHO dan Apartmen Servis dalam dua jenis keluasan iaitu 450 kaki persegi dan 550 kaki persegi dengan harga jualan masing-masing RM250,000 dan RM270,000.

Meskipun harga ditawarkan dalam kategori mampu milik, pembeli akan menikmati pelbagai kemudahan fasiliti bersama seperti kolam renang, gimnasium, surau, gelanggang badminton dan taman permainan.

Selain itu, kediaman tersebut juga dibina di lokasi yang strategik iaitu empat kilometer daripada mercu
tanda KLCC serta dalam radius berdekatan untuk kemudahan lain seperti sekolah, pusat beli
belah, hospital dan bank.

Kediaman yang bakal dibina itu juga akan disambungkan dengan laluan pejalan kaki ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Jelatek yang bakal menghubungkan penduduk dengan LRT Laluan Kelana Jaya serta memberikan hubungan terus kepada KL Sentral. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI