PETALING JAYA – Wanita yang mengalami masalah mati putik kebiasaannya memiliki berat badan berlebihan dan mereka yang berusia 35 tahun ke atas.
Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Habibah Abdul Hamid berkata, mereka perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dan amalan pemakanan yang seimbang.
“Wanita yang mati putik perlu mendapatkan rawatan segera kerana berisiko menghadapi ketidaksuburan dan akhirnya memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan emosi dan fizikal,” katanya semalam.
Menurutnya, mereka yang mempunyai masalah itu juga perlu mendapat rawatan pakar sakit puan dan psikologi.
Katanya, pakar akan mengenal pasti terlebih dahulu punca mati putik itu sama ada melibatkan penyakit dalaman seperti kencing manis, penyakit jantung, kanser atau masalah psikologi iaitu trauma dan sebagainya.
“Jika teruk, kita akan melakukan rawatan khas penyakit vaginismus khusus bagi pesakit wanita yang mengalami masalah penetrasi bersama suami biarpun ia jarang terjadi,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, masalah disfungsi seksual yang dialami wanita dalam alam rumah tangga boleh dicegah melalui pengurusan diri dari segi emosi, fizikal, mental dan spiritual.
“Sungguhpun ia sesuatu yang agak sulit dan jarang diperkatakan, namun wanita tidak perlu malu sehingga membatasi tindakan merawat sebelum parah.
“Ini kerana kesan psikologi akan menjadi lebih teruk jika hanya isteri yang dipersalahkan sehingga wujud penindasan oleh suami,” katanya.
Menurutnya, setiap pasangan juga perlu kembali kepada fitrah dalam perkahwinan.
“Jika ia melibatkan isu kesihatan fizikal atau masa yang terlalu sibuk, maka ambil peluang untuk bercuti berdua.
“Usia bukanlah penghalang untuk pasangan mengekalkan keromantisan dan mengeratkan lagi hubungan istimewa berdua,” katanya.














