Pakar perunding endokrinologi, Dr. Rohana yang merupakan Presiden Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS) menyifatkan Ramadan juga boleh menjadi permulaan yang baik untuk orang ramai menurunkan berat badan jika kena caranya.

Perjuangan Dr. Rohana kurangkan kadar obesiti di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini, obesiti menjadi satu masalah yang membimbangkan memandangkan lebih separuh daripada rakyat Malaysia berdepan masalah tersebut.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, rekod menunjukkan 54.4 peratus rakyat negara ini atau satu dalam dua orang mengalami berat badan berlebihan dan obesiti.

Dalam mendepani masalah tersebut, Prof. Dr. Rohana Abdul Ghani menjadi antara insan penting yang berusaha untuk mengurangkan kadar obesiti di Malaysia.

Beliau yang menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS) mengetuai persatuan yang memberikan tumpuan kepada usaha memperkasa perubahan dan kesedaran dalam pengurusan obesiti di Malaysia.

Mengulas tentang persatuan yang diterajuinya, Dr. Rohana berkata, MYOS terdiri daripada pakar pelbagai disiplin yang berhadapan secara langsung dengan pesakit obesiti.

“Kami bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memberi khidmat nasihat berdasarkan kepakaran kami dalam membantu menangani masalah obesiti ini.

“Salah satu usaha yang kami lakukan adalah untuk membuka minda semua pihak untuk melihat obesiti bukan sekadar isu gaya hidup yang tidak sihat, tetapi ia merupakan satu penyakit kronik sama seperti penyakit kronik yang lain,” katanya yang juga merupakan Pakar Perunding Endokrinologi Hospital Al-Sultan Abdullah di Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Puncak Alam, Selangor.

Tambahnya, pada masa ini, MYOS lebih memberi tumpuan untuk memperkukuh latihan yang dilaksanakan dalam bentuk syarahan, seminar dan webinar yang bertujuan meningkatkan kefahaman serta kesedaran mengenai obesiti sebagai penyakit kronik dalam kalangan pakar perubatan kesihatan.

Usaha memperkasa kesedaran obesiti di peringkat nasional terus digembleng MYOS.

Melalui pendekatan ini, ilmu dan kesedaran yang diperkukuh dalam kalangan profesional kesihatan akan dapat disampaikan semula kepada masyarakat sekali gus membantu memperluas kefahaman awam tentang kepentingan pencegahan dan rawatan obesiti secara menyeluruh.

Dalam pada itu, mengulas tentang masalah tersebut, Dr. Rohana berkata, obesiti di Malaysia kini berada pada tahap yang sangat kritikal.

“Ia bukan sekadar membimbangkan, malah boleh dikategorikan sebagai satu krisis kesihatan awam yang kritikal,” katanya.

MENURUT Dr. Rohana, obesiti bukan sahaja meningkat dalam kalangan orang dewasa tetapi juga kanak-kanak.

“Obesiti ini jika tidak ditangani secara serius, ia boleh mencetuskan beban kesihatan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya yang telah dua penggal menerajui MYOS

Untuk menangani masalah ini ia bukanlah sesuatu yang mudah dan menjadi satu cabaran buatnya.

Namun, sebagai Presiden MYOS, Dr. Rohana mempunyai satu matlamat yang jelas iaitu untuk membantu mengurangkan kadar obesiti di Malaysia.

“Ini adalah fokus utama saya dan kita sedia maklum bahawa berdasarkan laporan NHMS sebelum ini, kadar obesiti menunjukkan peningkatan.

“Jika dalam laporan akan datang, walaupun berlaku sedikit penurunan, pada saya itu sudah dianggap satu kejayaan,” jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Dalam masa sama, di bawah teraju Dr. Rohana, MYOS juga telah berjaya meyakinkan KKM untuk meletakkan obesiti dalam seksyen penyakit tidak berjangkit di bawah NHMS 2023. Disebabkan itu, obesiti kini diangkat sebagai salah satu penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi dan kolesterol.

Sementara itu, MYOS meneruskan usahanya dengan menganjurkan National Obesity Scientific Meeting (NOSM) 2026 pada April ini.

Mesyuarat ini akan menampilkan barisan penceramah terkemuka dan pakar terkemuka dalam bidang obesiti klinikal.

“Ia akan berfungsi sebagai platform dinamik untuk perbincangan mendalam tentang aspek praktikal dan klinikal obesiti dan komplikasinya, yang mencerminkan sifat pelbagai disiplin pengurusannya.

“Pakar daripada pelbagai disiplin perubatan dan pembedahan akan berkongsi pandangan, memastikan pertukaran pengetahuan dan strategi yang komprehensif,” katanya.

Di samping suami dan anak-anak yang banyak memberikan sokongan.

Mengulas kerjayanya sebagai pakar perubatan dan juga ahli akademik, Dr. Rohana berkata, kedua-dua Itu adalah cita-citanya sejak kecil.

“Ketika zaman persekolahan saya bersekolah di sekolah harian biasa di Kuching, Sarawak.

“Kemudian saya mendapat biasiswa daripada Petronas dan menyambung pengajian bidang perubatan di University College Dublin di Ireland, saya di sana selama enam tahun,” jelasnya.

Beliau kemudian pulang dan membuat housemanship di Hospital Umum Sarawak dan seterusnya menjadi pensyarah pelatih di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Kemudian, Dr. Rohana menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang perubatan dalaman dan mengikuti latihan fellowship dalam bidang endokrin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr. Rohana kemudian memilih untuk berkhidmat di hospital swasta.

“Saya di hospital swasta hanya berkhidmat selama sembilan bulan dan saya rasa bosan di situ, kemudian memilih untuk menjadi pensyarah di UKM.

“Selepas UKM, saya kemudian menjadi pensyarah di UiTM,” terangnya.

Sejujurnya sebagai seorang doktor, beliau lebih cenderung kepada aspek positif perubatan dalaman.

Oleh itu, beliau memilih bidang endokrin kerana ia memerlukan pemikiran kritikal dan mengurus penyakit-penyakit lain.

Seorang pakar endokrin perlu membuat analisis menyeluruh terhadap pesakit dan mendengar sejarah pesakit secara terperinci serta melihat perubahan pada tangan, kaki dan mulut untuk melihat tanda-tanda penyakit.

Selain itu, pakar endokrin juga perlu membaca ujian darah yang akan memberi diagnosis kepada sesuatu penyakit.

Kata Dr. Rohana, dalam bidang endokrinologi ada pelbagai disiplin dan beliau memilih obesiti.

Beliau gembira dan puas melihat mereka yang ada masalah obesiti dapat mengurangkan berat badan dan jalani kehidupan dengan lebih baik.

“Ketika saya mengikuti latihan endokrin, saya ada satu pesakit yang masih muda dan berdepan masalah obesiti dan Indeks jisim badan (BMI) sangat tinggi dan perlu duduk di atas kerusi roda.

“Pada ketika itu, mukanya sangat murung dan sedih dan menyatakan dirinya berhadapan masalah jantung dan buah pinggang,” jelasnya.

Dr. Rohana memberi kaunseling dan menyatakan apa yang perlu dilakukan oleh pesakit tersebut.

Hasil bantuannya, pesakit itu berjaya mengurangkan berat badan dan datang berjalan masuk ke bilik Dr. Rohana dengan senyuman.

“Pesakit ini, mengucapkan terima kasih dan menyatakan bahawa saya telah mengubah kehidupannya.

“Pada masa itu, saya rasa inilah yang ingin saya lakukan dan membantu mereka yang berhadapan dengan masalah tersebut,” terangnya.

Malah, di UiTM, beliau juga telah memulakan untuk membuka klinik obesiti.

Klinik obesiti itu adalah satu ‘one stop centre’ di mana pesakit yang datang akan berjumpa dengan pakar endokrin, dietetik dan psikologi di satu klinik.

Pesakit obesiti boleh mendapatkan khidmat nasihat untuk menangani masalah tersebut.

Menyentuh mengenai bulan Ramadan kini, Dr. Rohana berpendapat, berpuasa di bulan Ramadan sebenarnya boleh menjadi permulaan yang baik untuk seseorang itu mengurangkan berat badan jika kena caranya.

Apabila kita berpuasa dan tidak makan sepanjang hari, ia sekali gus mengurangkan pengambilan kalori.

Dr. Rohana berkata, jika seseorang itu meletakkan keazaman untuk mengurangkan berat badan, mereka perlu meletakkan pemahaman yang betul ketika berbuka puasa.

“Ketika berbuka, kita perlu mengambil protein terlebih dahulu serta kurangkan pengambilan karbohidrat dan juga kuih- muih yang manis.

“Kesedaran dan pemahaman itu kena ada dan seseorang itu perlu tahu apa yang perlu diambilnya ketika ingin berbuka puasa jika ingin mengurangkan berat badan,” jelasnya.

Malah, puasa juga mempunyai manfaat yang baik dari segi kesihatan.

Selain itu, Dr. Rohana menerangkan, berpuasa dapat merehatkan hati dan hati ini berfungsi untuk menyimpan tenaga.

“Apabila kita berpuasa, hati akan mengeluarkan tenaga yang terkumpul sekali gus akan mengurangkan lemak di dalam hati.

“Selain itu, apabila berpuasa perut kita akan sedikit mengecut dan apabila ia semakin mengecil kita akan kurang rasa lapar.

“Kenapa orang yang berbadan besar sentiasa lapar dan makan banyak? Ini kerana perut kita seperti plastik boleh kembang dan mengecut, jika perut kita besar kita perlu lebih banyak makanan untuk memenuhinya,” katanya.

Tambahnya, apabila berpuasa dan kita mengambil makanan yang sedikit, perut kita akan semakin mengecut.

“Bila perut semakin mengecut, makan sikit pun kita sudah rasa kenyang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN