fbpx

Wanna Ali sedar hala tuju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANNA ALI

SEPANJANG sedekad berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, tidak banyak naskhah lakonan yang pernah dijayakan pelakon cantik Wanna Ali biarpun mula berlakon sejak remaja.

Ada ketika, fasa kariernya terhenti seketika dek memberi laluan terhadap pelajaran.

Pun begitu, dalam senarai lakonan yang pernah meminjam bakatnya, Wanna dilihat kerap membintangi karya terbitan milik syarikat produksi ibunya sendiri, Datuk Normashayu Puteh atau Ayu Puteh iaitu Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd.

Dilayangkan pertanyaan tentang perkara tersebut, pemilik nama sebenar Nursyazwana Ali itu mengakui, memang pernah timbul salah faham apabila ada yang mendakwa dia merupakan artis residen syarikat produksi ibunya.

TIDAK melimitkan kerjaya lakonan dengan hanya terikat bersama syarikat milik ibu sendiri, Wanna kini banyak dilamar produksi lain.

Itu kisah lama. Jika pertanyaan tersebut ditanya tiga tahun lepas, jawapannya mungkin ya. Sekarang, tidak lagi kerana dia sendiri sudah meneroka banyak platform lain di luar sana.

Pertanyaan tersebut ditebak kepada Wanna ketika ditemui usai majlis tayangan filem terbaharu lakonannya berjudul Autumn In Wales (AIW), juga terbitan Pencil Pictures.

Sekarang kata Wanna, dia ada menerima tawaran berlakon daripada produksi lain tetapi kebanyakannya bukan watak utama.

“Untuk filem terbitan produksi mama (panggilan untuk ibu), filem pertama saya diberi watak utama menerusi Ada Apa Dengan Dosa (AADD).

“Kalau untuk drama pula, saya tak terlibat langsung dengan naskhah terbitan produksi mama.

“Saya akan ambil tawaran daripada produksi lain untuk lebih pendedahan,” jelasnya.

LAMA tidak menyanyi, Wanna akui gementar ketika diberi kepercayaan menyanyikan lagu Pandu Lalu yang digunakan sebagai OST filem Autumn In Wales.

Pertembungan tiga filem

Seperkara tentang penglibatan Wanna dalam AIW, ketika penggambaran naskhah berkenaan, dia sebenarnya terlibat dengan penggambaran dua buah filem lain iaitu Aku Bukan Gila dan Ada Apa Dengan Dosa (AADD).

Menerusi AADD, dia memegang watak sebagai Aurora yang hidup dalam kegelapan tanpa sinar agama selepas dilahirkan sebagai anak luar nikah oleh kedua-dua orang tuanya sebelum dibesarkan oleh keluarga angkat.

Berbeza dengan AIW, Wanna menjayakan peranan sebagai wanita berkerjaya dan anak orang kaya, sebuah personaliti yang tidak lari jauh daripada keperibadian sebenarnya.

Disebabkan perbezaan ketara antara kedua-dua watak, Wanna mengakui berdepan cabaran yang agak berat untuk mendalami keperibadian Aurora dan seketika kemudian harus menjiwai karakter Marissa.

“Selepas tamat penggambaran AADD, saya masuk set AIW pula.

“Nak dijadikan cerita, dalam tempoh itu, ada satu babak dalam AADD terlupa dilakukan.

“Tambahan pula, babak itu memerlukan saya menangis ketika mendapat tahu diri saya anak angkat. Jadi susah untuk masuk semula dalam roh watak Aurora.

“Mujurlah ada bantuan daripada Cikgu Fatty (Fatimah Abu Bakar) dan semuanya berjalan lancar,” kongsinya.

Selain terlibat dalam filem tersebut, Wanna juga diberi kepercayaan menyanyikan lagu runut bunyi berjudul Pandu Lalu ciptaan sepenuhnya oleh Shazee Ishak dan Audi Mok.

BERLAKON bawah syarikat ibu sendiri adakalanya memberi cabaran buat Wanna kerana tidak selesa wanita itu berada di lokasi penggambaran bersamanya.
– SHIDDIEQIIN ZON

Enggan menyanyi?

Ironi, Wanna enggan bergelar seorang penyanyi, namun disebabkan lagu tersebut dihasilkan pada saat-saat akhir dan memikirkan penghasilannya untuk OST filem, dia menerima tawaran tersebut.

“Bila kami buat filem ini, memang tak ada lagu OST. Kalau ikutkan memang saya tak nak menyanyi tapi bila difikirkan ini hanya untuk OST saja, jadi mengapa tidak,” ujarnya.

Bagi yang mengikuti perkembangan karier pelakon berusia 25 itu, Wanna sebelum ini pernah muncul dengan sebuah single yang melonjakkan namanya sekitar 2013, berjudul Lepaskan.

Perlahan-lahan, dia membina nama dalam dunia lakonan menerusi banyak drama dan filem yang menyerlahkan pesonanya selaku pelakon.

Masa berlalu, ‘keghairahan’ Wanna terhadap nyanyian semakin memudar sehinggakan ada yang terlupa dia mempunyai bakat sebagai penyanyi.

Ditebak dengan keadaan itu, Wanna sebetulnya enggan lagi menyanyi kerana berasakan lebih memahami kehendak sebenar yang dimahukan diri sendiri.

“Saya sudah tahu hala tuju karier dan rezeki iaitu lakonan. Seiring dengan usia, saya tak rasa nak menyanyi hanya untuk tempatkan diri dalam pasaran Malaysia.

“Sebab saya pencinta muzik jazz, R&B dan slow ballad. Kalau untuk lagu dengan jalur sebegini, agak sukar diterima peminat di Malaysia,” ujarnya.

Sebelum menutup bicara, Wanna sempat berkongsi perancangan karier sepanjang Ramadan yang sengaja diperlahankan.

“Saya masih ada jadual penggambaran yang terpaksa diselesaikan iaitu drama Antara Ikhlas dan Kaca untuk tayangan Awesome TV.

“Sepatutnya penggambaran tamat sebelum puasa tetapi keadaan pandemik yang meruncing sejak beberapa bulan lalu jejaskan sedikit gerak kerja. Ada yang positif, jadi penggambaran ‘lari’ sedikit daripada jadual asal,” tutupnya.

WANNA sebetulnya suah enggan menyanyi kerana berasakan lebih memahami kehendak sebenar yang dimahukan dalam kariernya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI