fbpx

Polis cekup wanita kurang siuman mengamuk sambil seret sabit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan kejadian seorang wanita menyeret galah yang dipasang sabit di Kampung Bukit Merbau, Pasir Puteh semalam.

PASIR PUTEH – Polis menahan seorang wanita dipercayai kurang siuman yang mengamuk dengan membawa galah yang dipasang sebilah sabit di Kampung Bukit Merbau di sini semalam.

Wanita berusia 52 tahun yang memakai seluar pendek dengan berjubah terbuka dan memakai kopiah itu merupakan seorang ibu tunggal dilihat mengheret sebatang galah dengan hujungnya dipasangkan sabit panjang di atas jalan kira-kira pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada penduduk.

Menurutnya, bagaimanapun, wanita itu tiada di lokasi tersebut apabila dia dipercayai telah melarikan diri ke lokasi lain.

“Penduduk kampung memaklumkan wanita itu mengheret galah yang dipasang sabit sambil berleter dan bercakap sesuatu sekali gus menimbulkan ketakutan orang ramai.

“Kita berjaya mengesan suspek berada di dalam rumahnya yang juga terletak di kampung itu. Selepas memujuknya, wanita yang telah kematian suami sejak dua tahun lalu dan tinggal bersendirian di rumah itu berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurutnya, suspek yang ditahan berada dalam keadaan tidak menentu memaklumkan bahawa dia menggunakan sabit itu bagi mengambil pucuk kayu untuk dijadikan ulam.

Ujarnya, suspek dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk menjalani pemeriksaan dengan pakar dan rawatan lanjut. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI