SEPANG – Polis mengesahkan seorang lelaki warga Bangladesh yang tular kerana berkelakuan agresif dan mengganggu penumpang di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu lalu dipercayai kurang siuman.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.40 petang ketika lelaki berusia 26 tahun itu berada di kaunter sebuah syarikat penerbangan di terminal berkenaan.
Beliau berkata, lelaki asing itu dilaporkan menjerit dan mengganggu penumpang yang berada di sekitar kawasan berkenaan.
“Pihak kawalan keselamatan terminal yang berada di lokasi segera mengambil tindakan bagi menenangkan keadaan sebelum membawa lelaki itu ke Balai Polis Terminal 1 untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati lelaki itu dijadual menaiki penerbangan pulang ke negaranya pada pukul 10.20 malam hari sama. Semasa tempoh bertenang, suspek tidak dapat mengawal diri dan bertindak agresif,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan dan ditempatkan di Wad Psikiatrik. Pihak Kedutaan Bangladesh turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman video memaparkan seorang lelaki asing bertindak agresif dan mencetuskan kekecohan di kawasan terminal sehingga menarik perhatian orang ramai.- KOSMO! ONLINE
















