Memancing udang galah di kolam berbayar merupakan salah satu hobi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan muda.
Hobi itu sesuai buat mereka yang sukakan aktviti bermanfaat bagi mengisi masa lapang serta melepaskan tekanan.
Bagi Ashya Aziz, 25, dia mula memancing udang galah tanpa dirancang, sebelum akhirnya menjadi aktiviti yang memberi makna dalam kehidupannya.
Berkongsi dengan K-Remaja, anak kelahiran Kedah itu berkata, minat memburu udang galah bermula selepas dia mengikut abangnya yang juga seorang kaki pancing.
“Sebenarnya, saya mula memancing lepas mengikut abang saya yang juga seorang pemancing udang tegar.
“Kalau diikutkan, saya memang tidak pernah minat pun dengan aktiviti memancing ini.
“Namun selepas kali pertama mendapat udang galah, rasa seronok itu lain macam. Bertitik tolak dari situlah muncul rasa ingin cubanya lagi,” katanya.
Menurutnya, antara faktor yang membuatkan hobi itu menyeronokkan adalah kewujudan kolam pancing yang semakin bertambah di negara ini.
“Saya suka aktiviti ini kerana senang untuk cari lokasi kolam udang.
“Lagi pula, saya bekerja dan kerap berpindah, jadi di mana-mana pun saya berpindah, mesti ada kolam pancing udang galah.
“Tak perlu pergi jauh atau tunggu cuti panjang untuk memancing,” katanya tentang hobi tersebut.
Namun begitu, memancing udang galah bukanlah semudah yang disangka.
“Cabaran utama memancing udang galah adalah apabila ia tidak buka mulut.
“Ada kalanya, saya sudah menunggu lama dan tukar umpan banyak kali, namun masih ‘sepi’ tanpa sebarang tangkapan.
“Saya sifatkan memancing udang galah memerlukan kesabaran yang tinggi dan pemancing perlu peka dengan pergerakan tali pancing,” katanya.
Menurut Ashya, hasil tangkapan udang galah tidak menentu dan bergantung kepada rezeki.
“Kadang-kadang sejam boleh dapat lima ekor, ada masa dua jam, seekor pun tak dapat.
“Namun itulah keseronakannya. Kita tak tahu bila masa udang nak makan umpan. Tapi apabila dapat didaratkan, rasa sangat seronok dan berbaloi tunggu,” katanya.
Sementara itu, Ashya memaklumkan, memancing bukan sekadar hobi, tetapi satu bentuk terapi diri.
“Bagi saya, memancing lebih kepada cara untuk tenangkan diri. Kerja saya sekarang agak fast-paced, jadi memancing ini boleh seimbangkan semula hidup saya.
“Apabila saya duduk di tepi kolam, bunyi air dan suasana tenang membantu menghilangkan rasa tertekan. Bonus kalau dapat udang galah banyak,” katanya.
Dari segi kekerapan pula, Ashya memberitahu, dia tidak ada jadual khusus, sebaliknya akan pergi memancing udang jika ada orang ajak ketika waktu lapang.
Gadis itu turut berkongsi nasihat kepada remaja lain yang ingin mencuba aktiviti itu.
“Sabar dan jangan cepat putus asa. Cuba rasa pengalaman dapat tangkap seekor udang galah dulu, mesti seronok. Saya juga menggalakkan lebih ramai wanita mencubanya kerana aktiviti ini sangat menyeronokkan,” ujarnya.














