fbpx
Bufet Ramadan hotel mendapat sambutan kerana menyediakan pelbagai jenis juadah dan persekitaran yang selesa serta mudah untuk menunaikan solat. – GAMBAR HIASAN

Berhabis RM1,000 berbuka puasa di hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Meluangkan masa untuk berbuka bersama keluarga, bersiar-siar dan menikmati pelbagai jenis juadah hasil air tangan cef hotel merupakan antara sebab orang ramai sanggup berhabis untuk me­nempah slot bufet Ramadan di Lembah Klang.

Antara menu yang sering disajikan pada buffet Ramadan termasuk kambing golek, sup tulang, gulai kawah, pelbagai pemanis mulut, makanan laut, masakan kampung dan lain-lain.

Bagi Faridah Abd. Karim, 54, dia sanggup berhabis antara RM500 hingga RM1,000 kerana baginya saat bersama keluarga adalah momen yang tidak boleh dilepaskan ketika berbuka bersama di bulan Ramadan.

Katanya, dia dan keluarga memang suka makan bufet setiap kali Ramadan kerana dapat menikmati pelbagai juadah bersama anak-anak.

“Saya tak kisah berhabis antara RM500 hingga RM1,000 bergantung kepada menu yang ditawarkan. Berbuka di hotel adalah pengalaman menarik yang boleh dijadikan kenangan,” katanya ketika dihubungi.

Seorang jurutera, Nur Nadiah Azman, 32, juga bercadang untuk menikmati bufet Ramadan di salah satu hotel di Kuala Lumpur.

“Saya memang suka berjalan dan menikmati makanan yang lain daripada yang lain. Selalunya akan dapatkan maklum balas daripada rakan-rakan kerana tidak mahu membazir,” katanya.

Di Kuala Selangor, Fatin ­Ainaa Faudzi, 34, berkata, dia memilih bufet Ramadan di hotel kerana lebih sesuai untuk me­ngadakan pertemuan dengan ahli keluarga.

“Ruang yang luas sesuai untuk mengumpulkan keluarga besar dilengkapi fasiliti seperti tandas dan surau yang berdekatan memudahkan aktiviti berbuka sambil beribadah.

“Lagipun, kadang-kadang kita selalu berada dalam keadaan keliru untuk berbuka apa dan bufet Ramadan adalah jalan penyelesaian yang mudah yang menghimpunkan pelbagai juadah di satu tempat,” katanya.

Menurut Fatin Ainaa, kualiti dan piawai makanan di hotel turut terjamin dengan jarang berlakunya insiden keracunan makanan terutama ketika bufet Ramadan.

“Ini memberikan keselesaan dan jaminan keselamatan kepada orang ramai yang turut membawa anak-anak mereka,” ujarnya.

Di Melaka, pekerja swasta, Zulhazry Mohd. Yusoff, 45, berkata, pakej bufet adalah acara yang paling dinantikan keluarganya.

“Menu bufet sempena Ramadan ini biasanya lebih istimewa dengan sajian tradisi seperti bubur lambuk, pelbagai jenis nasi dan lauk-pauk serta aneka kuih-muih.

“Berbuka puasa dengan pakej bufet ini juga merupakan salah satu cara untuk kita memberi ganjaran atau meraikan ahli keluarga selepas mereka berpuasa seharian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN