fbpx
Gambar tular di media sosial menunjukkan pemandu Singapura mengisi petrol bersubsidi RON95 di Johor Bahru.

Rakyat Malaysia bayar cukai, rakyat asing makan subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kelmarin kecoh cerita dan gambar tular mengenai warga Singapura yang sibuk mengisi minyak RON95 di Johor selepas sempadan dibuka pada 1 April.

Gelagat warga republik berduyun-duyun ke Malaysia membeli minyak murah bukan perkara baharu.

Sebelum pandemik pun penduduk dan rakyat Singapura selalu datang ke Johor dan seluruh Malaysia untuk menikmati barang murah.

Selalunya masakan laut, hotel, sehingga minyak masak, gula, tepung dan beras akan dipenuhkan dalam but kereta setiap kali ke Malaysia.

Mana tidaknya Malaysia menjadi sasaran. Sebahagian barang keperluan di Malaysia adalah disubsidi atau dikawal harga di bawah pelbagai skim. Jadi untuk orang Singapura, Malaysia adalah peluang melawat ke kedai candy atau permainan.

Semua ada untuk dibeli pada harga murah. Sebab utama rakyat dan penduduk Singapura beruntung adalah kadar tukarannya yang tinggi. SGD1.00 Singapura bersamaan RM3.11.

Cuba bayangkan dengan hanya SGD1 boleh membeli lebih satu liter minyak RON95.

Lagi memeritkan di republik itu, minyak RON95 dijual pada SGD3.00 atau RM9.33 setiap liter. Ini bermakna jika anda mengisi satu liter RON95 di Singapura bermakna dengan wang sama ada boleh mengisi 4.5 liter RON95 di Malaysia.

Itu tidak termasuk barang-barang keperluan harian murah lain seperti gula, tepung dan beras. Kalau tong gas boleh diangkut ke Singapura, dengan lori-lori tong gas diangkut ke republik itu.

Siapa harus dipersalahkan? Ada pengusaha stesen minyak mendakwa sukar mengawal siapa mengisi minyak. Sistem hari ini membenarkan setiap pam dikawal selepas pembelian dibuat.

Tetapi bagaimana pembelian dengan kad kredit? Kecuali ada ‘jaga pam’ bekerja 24 jam sukar memastikan tiada rakyat Singapura membeli RON95.

Kementerian berkaitan pun tidak mampu menghantar penguat kuasa untuk menjaga setiap stesen minyak. Malaysia terkenal dengan undang-undang tetapi penguatkuasaan agak ke laut.

Pengusaha tidak peduli. Asalkan sama ada minyak kenderaan, minyak masak, susu, beras, gula, tepung dan lain-lain, mereka akan menjualnya. Asalkan dapat untung.

Rakyat republik itu juga tidak bersalah. Bodoh la jika mereka tidak mengambil kesempatan jika minyak sama boleh dibeli pada harga lebih murah.

Apa lagi barangan keperluan harian lain. Rakyat dari negara sempadan utara Semenanjung juga berbuat perkara sama.

Malah, semua warga asing di Malaysia – sama ada penduduk tetap atau haram – menikmati subsidi minyak, beras, tepung, dan minyak masak.

Persoalannya kenapa harus lebih satu juta pembayar cukai (rakyat dan syarikat) menanggung pembelian lebih murah warga asing apabila wang itu seharusnya disalurkan kepada pembangunan negara.

Isu ini bukan hanya mengenai rakyat Singapura atau Siam. Ia mengenai warga asing mendapat manfaat daripada sistem subsidi yang dikhaskan kepada rakyat negara ini.

Selagi ia tidak diselesaikan dengan mekanisme yang berkesan, Malaysia akan kekal jadi pusat jualan murah untuk semua termasuk warga Singapura. Datanglah, kita jual murah untuk warga asing.

POPULAR