fbpx
Seorang pemotong kayu (tengah) direman empat hari lagi bagi membantu siasatan dakwaan mendera anak tirinya di Mahkamah Majistret Dungun hari ini.

Reman lelaki dera anak tiri disambung empat hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNGUN – Reman terhadap seorang pemotong kayu yang disyaki mendera anak lelaki tirinya berusia lima tahun 11 bulan di Kampung Besol, Bukit Besi, di sini, disambung empat hari lagi sehingga Khamis ini.

Perintah sambungan reman terhadap lelaki berusia 36 tahun tersebut dibenarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman di Mahkamah Majistret Dungun di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata, lanjutan permohonan reman berkenaan dipohon bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Setakat ini, kita juga telah mengambil keterangan empat individu termasuk seorang kanak-kanak bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kosmo! 12 Mei lalu melaporkan seorang budak lelaki melecur pada jari manis kirinya disyaki akibat didera bapa tirinya. Perbuatan lelaki berusia 36 tahun tersebut terbongkar selepas kecederaan berkenaan dilihat isterinya yang juga ibu kandung mangsa.

Suspek didakwa mengaku memijak perut dan mencucuh jari kanak-kanak berkenaan dengan pemetik api kononnya kerana tidak tahan dengan kenakalan mangsa.

Wanita terbabit kemudiannya membuat laporan berhubung kes tersebut yang membawa kepada penahanan suspek pada pukul 5.50 petang, 10 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN