fbpx

Ayam RM10 sekilo terus tekan pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafizul menyusun ayam segar yang dijualnya dengan harga RM10 sekilogram di Pasar Awam S’mart Pandan, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Pengguna di bandar raya ini terus terbeban selepas harga ayam stan­dard naik RM1.10 menjadikan harga jualan melambung antara RM9.50 sehingga RM10 sekilogram.

Kenaikan itu dakwa peniaga berikutan tindakan pembekal yang menaikkan caj penghantaran iaitu RM1 bagi setiap sekilogram ayam berbanding 50 sen sebelum ini.

Peniaga, Hafizul Mohamad, 40, berkata, caj penghantaran yang dikenakan pembekal sangat tinggi iaitu RM1 sekilogram menjadikan jumlah yang perlu mereka bayar ialah RM8.60.

Katanya, langkah itu memaksa mereka untuk menaikkan harga jualan ayam standard kepada RM10 sekilogram iaitu RM1.10 lebih mahal banding harga runcit ditetapkan, RM8.90 sekilogram.

“Pembekal memang licik, mereka tidak melanggar harga borong ayam standard yang dibekalkan pada RM7.60 sekilogram sebaliknya mengenakan kos penghantaran sehingga RM1 bagi setiap sekilogram ayam.

“Ini menyebabkan harga yang kami terpaksa bayar adalah RM8.60 sekilogram, sudah tentu tidak boleh jual ikut harga ditetapkan (RM8.90), mahu tak mahu terpaksa jual RM10 sekilogram dengan mengambil kira kos lain,” katanya semalam.

Mengulas lanjut, Hafizul memberitahu, kenaikan harga ayam segar itu turut menyebabkan bekalan bahan mentah tersebut sukar diperolehi dan dia hanya menerima 200 ekor sahaja.

“Kebiasaannya, saya tempah 500 ekor ayam segar setiap hari, tetapi hari ini dapat 200 sahaja dan saya terpaksa hadkan jualan, seorang pelanggan hanya boleh beli lima ekor sahaja.

“Permintaan ketika ini sangat tinggi, kira-kira pukul 12 tengah hari semua ayam segar ini habis dijual. Harap pihak kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya berkenaan kenaikan harga dan kekurangan bekalan ayam segar ini,” tambahnya.

Menurut seorang pelanggan, Fairus Talib, 34, dia terkejut melihat harga ayam standard melambung sehingga RM10 sekilogram dan menyifatkan ia sangat membebankan pengguna.

“Kenaikan harga ayam ketika Ramadan ini amat tidak munasabah dan membebankan masyarakat Islam umumnya, tiada pilihan lain selain perlu membayar harga ‘cekik darah’ ini,” ujarnya.

Bagi pesara kerajaan, Manan Abd Hamid, 76, bekalan ayam segar itu hampir habis ketika tiba ke pasar berkenaan kira-kira 12 tengah hari dan harganya cukup tinggi.

“Jika dahulu, harga tidak sampai RM9 tetapi kini mencecah RM10 sekilogram. Apa nak buat, terpaksa beli kerana cucu suka makan ayam,” ujar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI