fbpx
Gambar hiasan

Rakyat Malaysia kembali hidup normal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mulai hari ini, lebih 32 juta rakyat Malaysia kembali kepada kehidupan yang hampir normal selepas mereka ‘terkurung’ dan ‘berperang’ le­bih dua tahun dengan penularan Covid-19 ketika negara berada dalam fasa pandemik.

Peralihan fasa itu menyaksikan lebih banyak kelonggaran dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosial berbanding sebelum ini, sekali gus mendapat reaksi positif daripada rakyat yang sudah tidak sabar untuk menjalani kehidupan yang lebih bebas.

Antara kebebasan itu ialah aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal, pemilik premis dibenarkan beroperasi selama 24 jam dan semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi.

Pakar ekonomi, Dr. Barjoyai Bardai berkata, peralihan fasa daripada pandemik kepada endemik adalah suntikan baharu yang diperlukan untuk memba­ngunkan semula ekonomi negara.

Menurutnya, sekatan berpanjangan terhadap aktiviti ekonomi dan sosial mungkin tidak lagi dapat memberikan hasil yang dikehendaki kerana kelesuan pandemik selama ini amat dirasai.

“Ekonomi Malaysia dijangka kembali pulih apabila memasuki fasa endemik serta pembukaan semula sempadan negara.

“Saya jangkakan ekonomi negara kembali pulih dalam tempoh kurang enam bulan setelah sektor ekonomi dan pelancongan kembali bermula esok (hari ini).

Restoran tertentu dibenarkan beroperasi selama 24 jam mulai hari ini. – GAMBAR HIASAN

“Malaysia ketika ini sedang pulih dan untuk memastikan perkembangannya, kita perlu tarik balik sekatan. Pembukaan semula pelbagai sektor tepat pada masanya bagi mengurangkan kesan terhadap ekonomi,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau juga menjangkakan sektor pelancongan akan menjadi penerima faedah terbesar daripada keputusan kerajaan mengumumkan peralihan fasa tersebut.

Katanya, jika sektor pelanco­ngan dibuka, aktiviti ekonomi akan terus melonjak, sekali gus guna tenaga kerja juga semakin meningkat.

“Apa yang perlu ditekankan adalah cara pengesanan virus Covid-19 dengan lebih pantas terhadap pelancong asing bagi memastikan tiada penularan va­rian baharu di negara ini.

“Kebimbangan penularan Covid-19 tetap ada apabila sempadan negara dibuka, tetapi saya percaya kerajaan sudah bersedia sepenuh­nya,” kata beliau.

Sementara itu, pakar kesihatan, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, peralihan fasa akan memberi kebaikan dan keburukan, namun rakyat perlu ‘telan’ walaupun pahit.

“Kalau kita nak memasuki fasa endemik, kita terpaksa terima hakikat, paling merisaukan adalah jika adanya varian Covid-19 yang baharu. Kita perlu sama-sama jaga diri.

“Namun kalau dilihat sekarang, ini adalah masa yang tepat menuju endemik. Kita kena faham apa itu endemik, risikonya tetap ada, tetapi rakyat perlu patuhi prosedur operasi stan­dard yang ditetapkan kerajaan.

“Nasihat saya terutamanya kepada pekerja-pekerja di sektor pelancongan agar terus berhati-hati terutama mereka yang beri­siko tinggi iaitu golongan ren­tan,” katanya.

Menurutnya, kewajiban memakai pelitup muka yang diumumkan sebelum ini perlu dite­ruskan, jadikan sebagai pakaian harian rakyat Malaysia agar penularan virus dapat dikurangkan.

“Tahap ketidakpastian masih tinggi lagi dan ini perlu ditangani secara bijak jika tidak mahu ke­gembiraan daripada pembukaan semula sempada negara dan kelonggaran yang diberikan hanya dinikmati sekejap sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN