fbpx

PKS sedia 8 juta peluang pekerjaan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) diiringi Noh (kiri) melakukan gimik perasmian Hari Usahawan Negara 2022 (HUN 2022) di PWTC, sebentar tadi. /FOTO FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menyediakan lebih 8 juta peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia dan ia antara penyumbang utama pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sektor tersebut amat penting dan kerajaan memberikan perhatian yang serius bagi memastikan ia dapat terus berkembang bukan sahaja di Malaysia malah ke pasaran serantau.

Menurut beliau, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan juga telah meletakkan sasaran sebanyak 45 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2025 yang akan disumbangkan oleh PKS.

“Sasaran ini adalah realistik kerana sebanyak 39 peratus KDNK negara pada 2019 disumbangkan oleh PKS sebelum
ia terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu dan terbaru akibat banjir pada penghujung tahun lalu,” katanya pada majlis perasmian Hari Usahawan Negara 2022 di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM), Tan Sri Abu Hasan Mohd. Nor.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan PKS termasuk usahawan mikro dan informal dapat meneruskan perniagaan mereka.

Sebagai contoh katanya, kerajaan telah melancarkan program Semarak Niaga dengan dana sebanyak RM22 bilion untuk
membantu usahawan mendapatkan pembiayaan bagi meluaskan perniagaan.

“Selain itu, Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 tanpa faedah dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal. Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.

“Agrobank pula menawarkan pinjaman sehingga RM75,000 tanpa faedah berserta kemudahan moratorium selama enam
bulan.

“Manakala SME Bank menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta dibawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0. Secara kolektif, saiz dana untuk kedua-dua skim ini berjumlah RM300 juta,” ujarnya.

Jelasnya lagi, itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan para usahawan Keluarga Malaysia dapat terus mengembangkan perniagaan dan perusahaan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI