KANGAR – “Setiap kali mendengar atau membaca berita wanita mati dibunuh secara kejam, saya akan beristighfar, mengambil wuduk, berdoa dan menghadiahkan surah al-Fatihah kepada arwah anak saya.”
Itu yang dilakukan oleh Harison Husin, 73, ibu jurutera komputer, Noor Suzaily Mukhtar yang mati dibunuh selepas dirogol di dalam sebuah bas ekspres di Klang, Selangor 22 tahun lalu. Ketika itu Allahyarham berusia 24 tahun.
Menurut Harison, dia tidak pernah lupa tragedi pahit yang menimpa anaknya kerana ia meninggalkan mendalam kepada dirinya terutama sepanjang beberapa tahun selepas kejadian.
Katanya, walaupun sudah lebih dua dekad kejadian itu berlaku, ia sangat sukar dilupakan Noor Suzaily yang mesra dipanggil Suzy itu merupakan satu-satunya anak perempuan yang menjadi kesayangan keluarga.
“Seingat saya, sebaik menerima perkhabaran bahawa anak perempuan saya telah pergi buat selama-lamanya, ketika itu hati ini menjadi kosong dan buntu, tiada apa dalam fikiran.
“Sukar untuk saya terima, Suzy pergi meninggalkan kami dalam keadaan sebegitu rupa. Ketika itu, ramai yang datang ke rumah dari seluruh pelosok negara memberikan sokongan kepada kami sekeluarga, namun ia tidak kabur daripada ingatan,” ceritanya ketika ditemui di Taman Suriani di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 7 Oktober 2000 itu, Noor Suzaily dibunuh oleh seorang pemandu bas, Hanafi Mat Hasan ketika dalam perjalanan ke sebuah hospital swasta di ibu negara dengan menaiki sebuah bas ekspres.
Tragedi itu berlaku antara Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dengan Taman Bukit Tinggi di Klang, Selangor sekitar pukul 8.50 pagi hingga 9.15 pagi pada hari pertama mangsa dikatakan dalam perjalanan melaporkan diri di tempat kerja baharu.
Laluan bas dinaiki Noor Suzaily dilencongkan dan mangsa menjerit meminta pertolongan serta cuba menyelamatkan diri, namun gagal selepas Hanafi mengunci semua pintu menggunakan suis automatik sebelum menampar dan menumbuk gadis tersebut dalam satu pergelutan.

Hasil bedah siasat mendapati anak kedua daripada empat beradik itu dirogol dan dibunuh kejam dengan 44 kesan kecederaan pada bahagian tubuhnya.
Hanafi dijatuhi hukuman mati setelah didapati bersalah membunuh mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurut Harison, suaminya, Mukhtar Ibrahim, 73, telah meninggal dunia akibat masalah paru-paru pada Januari 2019.
Tambahnya, arwah Mukhtar telah membawanya menjalani pelbagai kaedah rawatan termasuk di hospital, tradisional dan perubatan Islam bagi menghilangkan trauma dialaminya.
“Susah untuk saya menerima hakikat anak saya diperlakukan sedemikian rupa dan meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati. Ketika itu, hilang semangat, susah untuk menerima kenyataan yang hidup pasti akan mati.
“Namun, dengan izin Allah serta sokongan keluarga, jiran serta rakan-rakan, semangat saya kembali pulih dan menerima ketentuan Ilahi setelah mengambil tempoh yang agak panjang,” ujarnya dengan tenang.

Ujar Harison, barangan peribadi dan bilik tidur anak gadisnya itu sentiasa dalam keadaan terjaga dan sering menggunakan bilik tersebut untuk bersolat dan serta menitipkan doa buat arwah sebagai tanda kasih seorang ibu tidak pernah putus.
“Arwah merupakan seorang yang periang dan peramah. Suzy juga biasanya akan mengambil cuti untuk pulang menyambut Ramadan bersama keluarga selain kami juga akan membuat kuih moden seperti Almond London menjelang Aidilfitri,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














