fbpx

Si lasak Ahirine kini heroin filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK menolak andai bertemu jodoh dengan orang seni, Ahirine bagaimanapun percaya bahawa jodoh terletak pada ketentuan Ilahi.

STATUS anak kepada figura berpengaruh dalam industri media iaitu Datuk Ahirudin Attan tidak memberi tiket atau akses mudah buat si cantik, Ahirine untuk bertapak dalam dunia seni tanah air.

Sama seperti orang lain, dia harus bersungguh-sungguh mencurah usaha demi menggapai impian, baik dalam kehidupan mahupun seni lakonan yang kian cemerlang didasarinya.

Ahirine, 26, bakal muncul sebagai bintang utama filem terbaharu berjudul Gadis Jolobu yang kini dalam penggambaran.

Sebulan berkampung di Kampung Lonek, Negeri Sembilan disebabkan tuntutan karakter dalam filem terbitan Zebra Studios berkenaan, wanita lasak itu teruja diberi kepercayaan melakonkan membintangi naskhah bernuansa komedi terbabit.

“Bapa saya somebody? Tidak juga. Abah (panggilan untuk bapa) lebih terarah dalam bidang politik. Saya macam baru nak bertatih dalam dunia lakonan.

“Dalam keluarga, tiada yang terjebak dalam dunia lakonan. Kebanyakannya semua orang media. Abang saya pun orang media.

“Saya seorang saja yang berminat untuk berkecimpung dalam dunia lakonan atau seni,” katanya.

Ahirine yang juga wartawan penyiaran Hlive ditemui HibGlam pada sidang akhbar filem Gadis Jolobu di ibu negara baru-baru ini.

TIDAK menolak andai bertemu jodoh dengan orang seni, Ahirine bagaimanapun percaya bahawa jodoh terletak pada ketentuan Ilahi.

Lasak

Melanjutkan bicara, Ahirine memberitahu, rezekinya dalam dunia lakonan mula menampakkan potensi kerana selalu terlibat dengan kerja aksi lagak ngeri dalam beberapa projek sinematik tempatan sebelum ini.

Antara aksi lagak ngeri yang pernah dijayakannya termasuklah filem Remp-It 2 arahan Farid Kamil, siri The Bridge dan Gol & Gincu.

“Nak dijadikan cerita, dalam Remp-It 2 saya buat stunt rider (babak aksi) untuk filem berkenaan.

“Farid tengok saya beraksi dan kemudian entah macam mana, dia ajak saya berlakon filem.

“Dia tawarkan saya berlakon, saya terus bersetuju. Siapa tak nak kan sebab itu macam mimpi jadi kenyataan (tertawa),” tutur lulusan Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Diajak berbicara tentang karakternya dalam filem Gadis Jolobu, Ahirine berkata, tidak menjadi satu masalah buat dirinya menjayakan watak yang dipertanggungjawab kepadanya, kerana dirinya memang sedikit fasih berkomunikasi dalam loghat Negeri Sembilan.

“Sebenarnya, saya ada darah keturunan Minangkabau.

“Abah berasal dari Lubok Cina, Melaka dan kalau kami balik kampung, memang akan cakap ‘nogori’.

“Kalau nak lebih mahir lagi cakap ‘nogori’, saya kena dengar lagu Datuk Hattan hari-hari (ketawa).

“Gadis Jolobu bukan sekadar filem komedi. Ada juga aksi, dan disebabkan itu, saya terima tawaran berlakon. Kerja pula dengan ramai otai, siapa yang tak nak kan,” jelasnya.

Teruja dan pada masa bersyukur dapat bekerja dengan nama besar seperti Datuk Hattan, Joey Daud dan Khir Rahman, Ahirine akan berusaha sehabis baik bagi memberi kualiti lakonan terbaik.

“Bersyukur dan teruja dapat kerja dengan nama-nama besar. Harapan saya agar dapat diberi peluang dan tunjuk ajar.

“Saya sedar masih baru dan berstatus hijau dalam industri,” ujarnya yang sangat meminati sukan lasak dan permotoran.

BERBAPAKAN seorang figura berpengaruh dalam dunia media tanah air bukan satu laluan mudah buat wanita cantik, Ahirine membina nama dalam dunia seni.

Henti seketika Hlive

Mula garang mengatur langkah sebagai aktres, Ahirine memaklumkan buat sementara waktu, komitmennya sebagai wartawan pernyiaran program hiburan, Hlive direhatkan.

“Bukan berhenti tetapi berehat seketika. Lagi pun, saya memang suka kerja sebagai wartawan penyiaran.

“Saya suka menulis, saya suka bercerita dan takkan berhenti buat semua itu.

“Mungkin dengan Hlive, buat masa sekarang, saya berkerja ‘part-time’,” katanya.

Merupakan seorang wanita lasak, Ahirine menytambung cerita, Dia pernah berdepan kecederaan sehingga mengalami ‘minor fracture’ pada bahagian dada.

“Banyak kali cedera. Pernah sekali sekitar dua tahun lepas, saya tercampak macam Superman buat aksi lagak ngeri.

Ahirine pertama kali terlibat bergelar heroin filem menerusi Gadis Jolobu lakonan bersama Hattan, Khir Rahman dan Joey Daud.

Hantaran

“Itulah saya, seorang yang tidak pernah serik buat kerja-kerja lasak. Kadang-kadang, saya takut juga dengan diri ini tetapi pada masa sama, rasa seronok.

“Orang cakap tak takut ke cedera luka sana ini nanti wang hantaran jatuh, saya hanya mampu tertawa.

“Saya rasa kalau perempuan itu lagi lasak, lagi tinggi hantaran mereka zaman sekarang ini,” katanya berseloroh.

Ditebak pertanyaan sama ada dirinya sudah berpunya, Ahirine tersipu malu. Katanya, buat masa masa sekarang fokus utama adalah melebarkan urusan kerjaya.

“Pun begitu, dirinya tidak menafikan sedang mengenali hati budi seseorang.

“Masih dalam proses mengenali hati budi. Senang cerita, sekarang ini saya berkawan dengan ramai orang.

“Soal jodoh susah sikit. Kita tak tahu kerana saya percaya bahawa urusan berkenaan semua ketentuan Ilahi.

“Saya tak nafikan sedang mengenali seseorang, namun kalau nak cerita lebih sama ada dan fikir nak ke arah seterusnya (kahwin), mungkin lambat lagi rasanya,” katanya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI