fbpx

Pilih anak tempatan di DUN Simpang Jeram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram (N13), Datuk Lokman Md Don. - FOTO UMNO Online

MUAR- Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Datuk Lokman Md. Don menyifatkan pengundi di situ memerlukan wakil pemimpin tempatan bagi ‘menjaga’ mereka..

Dengan bersandarkan tema kempen #orgcnijagacni, Lokman, 60, berkata, pengundi di DUN Simpang Jeram tidak memerlukan calon orang luar jika ada anak tempatan yang sentiasa ada di sini walaupun selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, besar harapannya supaya DUN Simpang Jeram mampu menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri oleh BN, minggu depan.

“Sebagai anak tempatan saya memang ada di sini walaupun selepas berakhirnya PRN kelak, menang atau tidak saya tetap di sini.

“Malah aktiviti saya sebelum adanya PRN ini pun memang banyak meluangkan masa di sini, jadi  saya memang rapat dengan orang di sini.

“Menjadi anak tempatan merupakan kelebihan buat saya dan biarlah saya yang menjaga kawasan ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Gerakan BN DUN Simpang Jeram, di sini.

DUN Simpang Jeram menyaksikan pertandingan empat penjuru yang  mana Lokman menerima tentangan hebat daripada penyandangnya yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub selain calon Perikatan Nasional (PN), Zarul@Mohamad Zahrul Salleh dan calon daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mahaizal Mahmor.

Pada masa sama, Lokman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan faktor kekalahan BN selama tiga penggal di DUN Simpang Jeram sebelum ini adalah keranacalon yang ditampilkan bukan anak tempatan.

Justeru, beliau berharap, strategi BN kali ini meletakkan calon tempatan akan memberikan kelebihan dan membuahkan hasil.

Beliau yang juga Timbalan Penerangan BN Johor berkata, pihaknya cuba mengelakkan kempen bersifat syok sendiri sehingga menimbulkan situasi tidak senang kepada pengundi.

Beliau berkata, pihaknya menekankan kepada jentera untuk sentiasa menjaga imej dan tingkah laku supaya tidak dipandang serong oleh pengundi kerana  tidak mahu ada isu kecil hati dalam kalangan mereka.

Sehubungan itu, katanya, beliau sedaya upaya memenuhi permintaan penganjur untuk menghadiri setiap acara sepanjang tempoh berkempen dan menyantuni semua pengundi dengan sebaik mungkin.

“Kecil hati ini bahaya, jadi jentera kena memainkan peranan untuk menghormati pengundi, kalau ada kekurangan mesti ‘cover’ (lindung) balik.

“Saya berpesan kepada  jentera dalam memastikan keselamatan jangan suka tahan kereta orang misalnya, dalam keadaan kita nak minta orang percaya amat penting untuk sentiasa bersopan santun.

“Saya minta jentera supaya sentiasa bersopan santun dan berhemah, kalau tidak nanti orang meluat. Selain  itu penampilan jentera juga perlu sentiasa dilihat ‘siuman’ (baik),” katanya.

Beliau berkata, DUN Simpang Jeram mempunyai kira-kira 40,000pengundi dengan 54 peratusnya adalah pengundi Cina.

Katanya, sepanjang lebih seminggu berkempen, pihaknya menerima maklum balas baik daripada pengundi Cina yang rata-rata mulai sedar bahawa parti pembangkang yang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak berupaya membela mereka.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI