fbpx

Israel boleh menjadi ‘sekutu berpotensi’ Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERA Mohammed semasa mempengerusikan sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk di Riyadh pada 14 Disember 2021. - AFP

RIYADH – Putera Mohammed bin Salman menyatakan bahawa Israel boleh menjadi ‘sekutu berpotensi’ Arab Saudi dalam satu kenyataan yang disiarkan kelmarin.

“Bagi kami, kami berharap konflik antara Israel dan Palestin dapat diselesaikan.

“Kami tidak melihat Israel sebagai musuh, kami melihat mereka sebagai sekutu yang berpotensi dengan banyak kepentingan dapat diusahakan bersama,” kata putera mahkota berkenaan kepada majalah bulanan Amerika Syarikat (AS), The Atlantic.

“Namun, kita perlu menyelesaikan beberapa isu sebelum mencapai objektif tersebut, tambahnya.

Arab Saudi tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Bagaimanapun, dalam 2020, dua sekutu rapat Arab Saudi iaitu Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu memulihkan semula hubungan diplomatik dengan Israel sekali gus menjadi negara Arab ketiga dan keempat berbuat demikian selepas Mesir dan Jordan.

Pemulihan semula hubungan itu dibuat di bawah Perjanjian Abraham tajaan Amerika Syarikat yang mencetuskan kemarahan rakyat Palestin kerana menyifatkannya sebagai perbuatan ‘tikam belakang’.

Arab Saudi berulang kali berkata, Riyadh akan mengekalkan dasar yang diguna pakai selama ini untuk tidak mewujudkan hubungan rasmi dengan Israel sehinggalah konflik antara Rejim Zionis dengan Palestin berakhir. 

Putera Mohammed bagaimanapun dilihat bersikap lebih terbuka kepada Israel berbanding bapanya, Raja Salman. Beliau membenarkan pesawat komersial Israel melintasi ruang udara Arab Saudi.

Laporan pada November 2020 yang menyatakan bahawa Perdana Menteri Israel ketika itu, Benjamin Netanyahu membuat lawatan rahsia ke Arab Saudi turut mencetuskan pelbagai spekulasi.

Arab Saudi bagaimanapun menafikan terdapat pertemuan antara Netanyahu dan Putera Mohammed berlaku. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI